Kementerian Wilayah susun strategik

Khalid Abd Samad - Foto Bernama
Khalid Abd Samad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan akan menyusun atur gerak kerja warganya melalui enam teras utama bagi memenuhi tema baharu Wilayah Persekutuan iaitu 'Wilayah Peduli, Harapan Dipenuhi'.

Menterinya Khalid Abd Samad berkata enam teras tersebut meliputi Wilayah Bersih, Keselamatan Awam, Pengangkutan Efisien, Sosio-Ekonomi Mampan, Persekitaran Hijau dan Komuniti Inklusif.

"Dalam teras pertama Wilayah Bersih, Blueprint Penarafan Kebersihan Kuala Lumpur (KL) meletakkan sasaran penarafan peringkat empat bagi semua kawasan di KL (Kuala Lumpur).

"Bagi mencapai penarafan ini, tindakan khas sedang digerakkan bagi merombak semula pengurusan pepejal di KL dan Putrajaya khasnya," katanya ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 200 penerima sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Khalid berkata bagi teras kedua, keselamatan awam juga akan ditangani secara tuntas melalui pendekatan penambahan bilangan kamera litar tertutup (CCTV) serta meningkatkan pencahayaan khasnya di kawasan titik panas (hotspot).

Bagi menyediakan pengangkutan yang lebih efisien kepada penduduknya, dua laluan Bas GoKL akan ditambah selain kajian pengangkutan monorel bagi menghubungkan Putrajaya ke Bangi, Kajang dan Cyberjaya yang akan dilaksanakan, sebagai teras ketiga.

Khalid juga berkata Rumah Wilayah Persekutuan akan diberi nafas baharu dengan dikenali sebagai Residensi Wilayah yang menyasarkan pembinaan 8,000 hingga 10,000 unit pada tahun ini bagi memenuhi teras keempatnya iaitu sosioekonomi mampan.

Artikel Berkaitan:

Melalui teras kelima iaitu persekitaran hijau pula, projek berimpak tinggi iaitu River of Life (ROL) telah menampakkan hasil awal yang boleh dibanggakan apabila disenaraikan sebagai ‘Top 10 Best Waterfront District’ di dunia meskipun status kerjanya baru mencapai 85 peratus.

"Melalui teras terakhir iaitu komuniti inklusif, Majlis Menteri Wilayah telah diwujudkan buat pertama kalinya sebagai saluran kepada Anggota Parlimen Wilayah Persekutuan untuk dilibat urus dalam perancangan dan pembangunan KL," katanya.

Sementara itu bagi Labuan pula, beliau berkata aktiviti ekonomi wilayah itu akan digiatkan semula sebagai sebuah Hab Halal termasuk menaik taraf Terminal Feri Labuan sebagai prasyarat kepada pemangkin pertumbuhan baharu di pulau itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata untuk memberi nilai tambah kepada kementeriannya, tiga agensi baharu telah ditubuhkan iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Landskap Negara serta Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

"Pastinya tiga agensi baharu ini dapat memberi nilai tambah dan kekuatan kepada kementerian untuk memperkembangkan model pembangunan di KL, Putrajaya dan Labuan untuk dijadikan contoh dalam penyediaan rancangan tempatan dan landskap pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara selain membantu menjayakan inisiatif yang bakal dilaksanakan di bawah kementerian bermula tahun ini," katanya.- Bernama