Prestasi penerjun lelaki mendukacitakan

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan melakukan bedah siasat untuk menila prestasi penerjun negara di Piala Dunia Terjun di Tokyo baru-baru ini bersama Persekutuan Renang Malaysia dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, walaupun prestasi ratu terjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong membanggakan, namun prestasi skuad lelaki amat membimbangkan pihaknya selepas lebih setahun tanpa pertandingan kompetitif.

“Prestasi penerjun lelaki amat membimbangkan kami, khususnya penerjun-penerjun senior yang tidak menampakkan satu prestasi yang membanggakan. Secara keseluruhan prestasi skuad negara bercampur baur di Jepun. Walaupun kami bangga, kami ada kerisauan juga.

“Pandelela berjaya merangkul emas dan Jun Hoong telah membuat penampilan semula untuk melayakkan diri ke Olimpik Tokyo selepas cedera pada 2018 dan hampir dua tahun tidak menyertai sebarang pertandingan kompetitif,” katanya ketika menyambut kepulangan skuad terjun dari Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

Piala Dunia yang berlangsung dari 1-6 Mei dan merupakan acara kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo pada Julai ini, menyaksikan Pandelela meraih emas acara 10m platform wanita sementara Jun Hoong menamatkan saingan di tempat ke-18 di pusingan separuh akhir.

Gandingan Pandelela-Leong Mun Yee bagi acara 10m platform seirama wanita mencapai kedudukan keempat.

Bagi acara 3m papan anjal wanita, Ng Yan Yee meraih tempat ke-11 manakala Nur Dhabitah Sabri gagal melepasi pusingan separuh akhir, selain gandingan mereka bagi acara 3m papan anjal seirama sekadar menduduki tempat ke-15 daripada 16 pasangan keseluruhan.

Lebih merisaukan apabila bagi acara 3m papan anjal lelaki, Muhammad Syafiq Puteh dan Chew Yiwei terkandas seawal pusingan kelayakan apabila sekadar menduduki tempat ke-23 dan 43, manakala gandingan Yiwei-Ooi Tze Liang meraih tempat ketujuh dalam acara 3m papan anjal seirama.

Artikel Berkaitan:

Tidak banyak beza dalam acara 10m platform lelaki apabila Jellson Jabillin dan Hanis Nazirul Jaya Surya masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-34 dan 43 daripada 46 peserta pada pusingan kelayakan dan tempat kesembilan bagi acara seirama.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata skuad terjun negara yang baru tiba di tanah air itu akan menjalani proses kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Prosedurnya normal seperti semua orang yang pulang dari luar negara, jadi pasukan kami telah pun dimaklumkan dengan awal dan telah mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan. Semoga mereka terus sihat dan dapat kembali menjalani latihan seberapa segera yang boleh,” jelasnya.