Perkeso sasar lindungi 200,000 Orang Bekerja Sendiri

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada 200,000 pekerja aktif daripada kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) menjelang akhir tahun ini.

Dalam satu kenyataan, Perkeso berkata, usaha untuk mencapai sasaran tersebut dilakukan melalui tiga program padanan caruman bagi perlindungan sosial kepada OBS yang turut disokong oleh Kementerian Kewangan.

Katanya, tiga program dirangka oleh Perkeso yang melibatkan OBS termasuk pekerja gig ialah Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform (PenjanaGig), Program Pendaftaran Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Lindung dan SPS Prihatin Wanita.

“Majlis Pekerjaan Negara (NEC) juga telah menyokong dan memperakui perancangan Perkeso untuk memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial yang diberikan kepada pelbagai kumpulan OBS lain melalui beberapa inisiatif.

“Antaranya ialah kolaborasi bersama Kementerian terlibat seperti Kementerian Pengangkutan ataupun persatuan-persatuan pekerja seperti Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia, Persatuan Seniman Malaysia dan sebagainya,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa bilangan OBS termasuk pekerja gig yang mendapat Perlindungan Sosial dari Perkeso menunjukkan peningkatan daripada 71,000 pada tahun 2019 kepada 81,000 orang untuk tahun 2020.

Muhyiddin berkata, jumlah terkini pekerja kategori OBS yang mendapat perlindungan Perkeso pada tahun 2021 ialah seramai 142,000 orang.

Sementara itu, bagi memperkukuh lagi rangka perlindungan sosial kepada golongan OBS, Perkeso memaklumkan pihaknya bersama Kementerian Sumber Manusia juga merancang untuk meminda Akta Sistem Insurans Pekerjaan [Akta 800].

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemindaan tersebut antara lain akan turut memberikan perlindungan kepada pekerja apabila berlaku kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat daripada kejutan ekonomi, bencana alam dan lain-lain.

Pada masa sama, katanya, Perkeso turut melahirkan penghargaan terhadap persetujuan NEC untuk memperluaskan secara lebih agresif pelaksanaan program Kerjaya UP yang dirangka bersama dengan Kementerian Sumber Manusia khusus untuk golongan miskin dan miskin tegar bandar.

“Program yang melibatkan 14 kementerian, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini akan melaksanakan lima aktiviti utama iaitu temu duga, kaunseling kerjaya, l latihan kemahiran,bantuan akses kepada pembiayaan serta pendaftaran perniagaan.

“Program ini akan dibawa menjelajah ke bandar-bandar besar di serata negara bermula Julai nanti,” katanya.

Bagi para penganggur jangka masa panjang yang dikenal pasti di Program Kerjaya UP, Perkeso memakumkan bahawa pihaknya juga akan melaksanakan program intervensi khas bagi individu terbabit untuk menjalani program meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka.

Jelasnya, antara intervensi yang akan dilaksanakan termasuk ujian psikometrik, kaunseling kerjaya, program latihan kemahiran, simulasi temu duga, padanan kerja melalui MYFutureJobs dan lain-lain.

“Antara 7,000 hingga 10,000 penempatan pekerja dijangka akan dapat dihasilkan melalui Program Kerjaya UP ini di serata pelusuk tanah air,” jelasnya.