15 individu termasuk remaja bawah umur berpesta dadah ditahan

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seramai 15 individu termasuk remaja bawah umur yang sedang leka berpesta sambil menghisap dadah ditahan di sebuah rumah di Taman Sri Rambai di sini awal pagi Sabtu.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang kira-kira jam 12.40 pagi hasil maklumat dan risikan mengenai kegiatan tidak bermoral kumpulan terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dalam serbuan berkenaan polis menemui pelbagai jenis dadah yang dipercayai digunakan kumpulan berkenaan untuk berhibur.

Menurutnya, antara dadah ditemui serbuk jenis MDMA, 12 pil ekstasi, dua batang rokok berisi daun kering dipercayai ganja dan 20 peket serbuk putih dipercayai ketamin yang nilai keseluruhan dianggarkan bernilai RM1,871.

"Mereka yang ditahan terdiri 12 lelaki dan tiga orang perempuan berusia diantara 14 hingga 28 tahun.

"Ujian saringan air kencing yang dibuat mendapati lima lelaki dan tiga remaja perempuan positif ketamin, lima lagi positif ketamin dan amphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Shafee berkata, kesemua mereka yang ditahan kini direman untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dadah yang dirampas boleh digunakan lebih 50 penagih dadah.

Artikel Berkaitan: