PKPD Mukim Bunut Susu: Ahli Parlimen jamin bantuan makanan cukup

Ahmad Fadhli (kiri) memunggah bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk di PKPD Bunut Susu pada Sabtu.
Ahmad Fadhli (kiri) memunggah bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk di PKPD Bunut Susu pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memberi jaminan bantuan kepada penduduk khususnya B-40 yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga buah kampung di Mukim Bunut Susu, di sini, bermula Ahad hingga 22 Mei ini mencukupi.

Ahmad Fadhli berkata, sebagai permulaan sebanyak 80 pek bantuan makanan telah diagihkan kepada penduduk di Kampung Paya Ular bagi meringankan beban mereka yang terjejas dengan PKPD.

"Selepas ini, kita akan agihkan bantuan ini ke kampung-kampung terlibat yang lain secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas turun padang melawat PKPD di Kampung Paya Ular, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, beliau akan cuba melihat mekanisma terbaik untuk memberikan makanan yang siap dimasak untuk juadah berbuka puasa kepada penduduk terjejas.

Beliau berkata, bantuan lain menjelang Aidilfitri akan turut diberikan.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya juga akan cuba mendapatkan bantuan tambahan daripada kerajaan pusat dalam perkara ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadhli merayu kepada seluruh penduduk kampung berkenaan memberikan kerjasama dan segera menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan kelancaran proses setiap pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, jika proses ujian saringan itu siap lambat, pihaknya bimbang PKPD akan berlanjutan.

Artikel Berkaitan:

"Saya nasihatkan agar penduduk keluar dan beri kerjasama sebab saya dimaklumkan bahawa swab test setakat ini tidak sampai 40 peratus.

"Jumlah ini masih sedikit berbanding sasaran yang diletakkan KKM," katanya.