X

Kindly register in order to view this article
!

Peningkatan kes Covid-19 timbul kegelisahan rakyat

A
A

SHAH ALAM - Peningkatan jangkitan kes Covid-19 dan kegagalan pemulihan ekonomi di Malaysia menimbulkan kegelisahan kepada rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng mendakwa, kegagalan tersebut merupakan satu penghinaan kepada negara dan terputusnya harapan kepada pemulihan ekonomi.

“Kegagalan pengurusan krisis kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang penuh dengan amalan dua darjat, dasar berubah-ubah dan pusingan U terhadap prosedur operasi standard (SOP) adalah faktor penyumbang utama kepada keadaan ini.

“Amaran rasmi mengenai lebih daripada 5,000 kes Covid-19 setiap hari selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri, kekurangan sumber di pusat kuarantin dan untuk wira barisan hadapan.

“Selain itu, ancaman untuk menahan atau bahkan memenjarakan mereka yang melanggar sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah usaha mengalihkan tanggungjawab atas kegagalan oleh kerajaan kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Guang eng berkata, rungutan rakyat bukan terhadap undang-undang yang dilaksanakan tetapi penguatkuasaan dua darjat sehingga golongan kenamaan terlepas daripada hukuman berbanding rakyat biasa.

Malah, katanya, kerajaan masih dalam penafian bahawa Malaysia adalah negara terburuk di Asia Pasifik dari segi kes harian Covid-19 per kapita.

“Antaranya beberapa negeri seperti Kelantan dan Sarawak yang sebelum ini merupakan zon hijau kini telah menjadi tapak panas jangkitan baharu.

“Walaupun dengan proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen, krisis Covid-19 semakin teruk dan tidak bertambah baik.

“Lebih buruk lagi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan keras kepala meneruskan pendekatan yang gagal ini mengingatkan kita akan petikan terkenal yang dikaitkan dengan Albert Einstein iaitu 'Definisi kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza',” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan RM622 bilion melalui pakej ransangan ekonomi dan Belanjawan 2021 sehingga menyebabkan pengakuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan kekurangan dana.

“Kerajaan harus menjelaskan mengapa rakyat tidak mendapat manfaat sepenuhnya dari RM622 bilion ini.

“Secara teknikalnya setiap rakyat Malaysia sepatutnya mendapat manfaat lebih dari RM19,000 selama satu tahun. Di manakah manfaat RM19,000 untuk setiap rakyat Malaysia?” katanya.

Guang Eng mendakwa, kerajaan telah mempergunakan kuasa darurat dengan meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) tanpa mendapat persetujuan parlimen.

Beliau berkata, perkara tersebut membolehkan kerajaan menjarah RM5 bilion daripada dana terkumpul RM19.5 bilion setakat akhir tahun lalu untuk tujuan Covid-19.

Namun begitu, katanya, satu rombakan penuh dan penyusunan semula krisis Covid-19 dan ekonomi perlu dikendalikan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!