X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Impian kanak-kanak 9 tahun ke sekolah akhirnya tercapai

Nur Iffika Dahlia dan adiknya, Nur Irine Delisha menerima sijil kelahiran yang disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh (kiri) di kediaman mereka di Kampung Gong Balai, Merchang, Marang pada Sabtu.
A
A

MARANG – Selepas tiga tahun tercicir daripada mendapat pendidikan formal di sekolah, impian seorang kanak-kanak perempuan untuk ke sekolah sama seperti adik beradiknya yang lain akhirnya tercapai.

Nur Iffika Dahlia Rusli, 9, dari Kampung Gong Balai, Merchang di sini yang sepatutnya belajar dalam Tahun Tiga tidak dapat bersekolah kerana tiada sijil kelahiran berikutan kelahirannya tidak didaftarkan.

Selain Nur Iffika Dahlia, adiknya, Nur Irine Delisha, 2, turut mengalami nasib sama.

Bapa mereka, Rusli Abdullah, 45, yang memperoleh pendapatan melalui jualan pokok bonsai berkata, dia tidak mendaftar kelahiran dua anaknya itu berikutan masalah kewangan dan kesihatan.

“Saya terlewat sehari daftar kelahiran anak, jadi banyak dokumen diperlukan, bila semakin lama makin rumit pula jadinya.

“Apa pun memang salah saya dan syukur alhamdulillah anak-anak akhirnya dapat sijil kelahiran demi masa depan mereka,” katanya.

Masalah dialami dua beradik itu mendapat perhatian jirannya yang membantu membuat aduan dan permohonan Sijil Kelahiran Daftar Lewat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu.

JPN Terengganu kemudian turun padang menyerahkan Sijil Kelahiran Daftar Lewat kepada dua beradik itu melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang disempurnakan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh di kediaman mereka di Kampung Gong Balai di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah.

Dengan sijil kelahiran itu, Nur Iffika Dahlia akan mula bersekolah dalam sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan pada 13 Jun nanti di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Balai.

Sementara itu ibunya, Bibi Sopiar Jusoh, 43, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana anak keenam dari lapan beradik itu akhirnya mendapat pendidikan sama seperti kanak-kanak seusianya.

“Dia selalu cakap mahu ke sekolah tapi saya jawab nanti dulu. Harap dia dapat sesuaikan diri, dua kakaknya juga menuntut di sekolah sama dalam tahun enam dan lima,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!