Penduduk masih 'liat' jalani ujian saringan Covid-19

Pihak berkuasa melakukan kawalan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Bechah Palas pada Sabtu berikutan PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa melakukan kawalan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kampung Bechah Palas pada Sabtu berikutan PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Penduduk di tiga buah kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikesan masih 'liat' untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Husin berkata, sehingga Jumaat, hanya 1,500 penduduk dari tiga buah kampung iaitu Paya Ular, Bechah Palas dan Tualang menjalani ujian tersebut.

"Jumlah itu bersamaan dengan 30 peratus sahaja. Jadi kita akan terus melipat gandakan usaha menarik semua penduduk di ketiga-tiga kawasan PKPD itu untuk menjalani ujian calitan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, ujian saringan itu penting untuk mengetahui jumlah sebenar penduduk yang positif Covid-19.

Justeru, beliau meminta seluruh penduduk dari tiga buah kampung itu untuk keluar melakukan ujian tersebut.

Menurutnya, jika jumlah 100 peratus gagal dicapai, JKNK tidak menolak kemungkinan pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan akan dipanjangkan.

"Bukan itu sahaja, malah bantuan anggota pasukan keselamatan akan turut dikerah jika penduduk masih enggan memberikan kerjasama.

"Semuanya bergantung kepada kerjasama penduduk, jadi saya mohon penduduk terlibat supaya segera berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini amat penting dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan PKPD di tiga kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan berkuatkuasa Ahad sehingga 22 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 120 kes positif Covid-19 direkodkan di kampung tersebut melibatkan Kampung Paya Ular iaitu sebanyak 42 kes, selain Kampung Tualang (26) dan Kampung Bechah Palas (52).