Varian ganas South Africa B.1.351 serang Kelantan

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Varian South Africa B.1.351 disahkan menyerang Kelantan selepas seorang pelajar berusia 16 tahun membawanya masuk setelah menghadiri kenduri di Lembah Klang, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan itu telah menyebabkan wujudnya Kluster Kampung Bunut Sarang Burung.

"Kes indeks ini telah menjangkiti seramai 190 individu lain," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Sabtu.

.Beliau berkata, selain Kelantan, varian itu juga dikenal pasti di Perak selepas Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

"Ia ditemui di Perak selepas kes indeks seorang pegawai khidmat pelanggan sebuah pusat hiburan positif Covid-19 pada 10 April lalu," katanya.

Beliau berkata, seramai 251 individu telah dijangkiti Covid-19 sehingga mencetuskan Kluster Jalan Canning Estate.

"Kajian survelan genomik ke atas 15 sampel daripada kluster berkenaan menunjukkan 10 kes dijangkiti varian B.1.351," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 48 kes dikesan di negara ini adalah daripada varian Afrika Selatan.

"Kesemuanya 51 varian termasuk lapan kes bagi varian United Kingdom (B.117), dua kes dari varian Nigeria (B.1.525) dan satu kes varian India (B.1.617.1)," katanya.

Menurutnya, kemunculan varian baharu tersebut telah menyebabkan jangkitan yang tinggi dalam kalangan golongan muda.

"Mereka akan mengalami gejala lebih teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU)," katanya.

Tambah beliau, sejak awal tahun ini sehingga Jumaat, jangkitan Covid-19 tertinggi adalah melibatkan mereka yang berusia 20 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 1,531 kes, manakala 30 hingga 39 tahun pula sebanyak 1,452 kes.

“Ini adalah usia bekerja. Pakar-pakar di Hospital Sungai Buloh mengesahkan jangkitan varian baharu adalah dari usia muda di mana ada kes yang tidak terkesan dengan rawatan yang diberikan. Contohnya guna steroid juga tidak berkesan," katanya.

Ujarnya, varian baharu itu bertindak lebih ganas jika ia menjangkiti golongan muda.

"KKM akan jalankan pemerhatian dan penjujukan genom bagi mengenal pasti pesakit telah dijangkiti oleh varian apa,” katanya.