Sijil palsu: Majikan disaran minta pengesahan universiti

HAMMAD FARHI
HAMMAD FARHI
A
A
A

SETIAP majikan di negara ini disaran meminta pengesahan universiti bagi ijazah yang dibawa oleh peminta kerja.

Ketua Bahagian Pengurusan Akademik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Hammad Farhi Mohd Saudi berkata, ia adalah tindakan wajar bagi mengelakkan terpedaya dengan peminta kerja menggunakan ijazah palsu.

"Kalau di USIM sendiri, sijil dikeluarkan ada lapan ciri keselamatan yang pelajar pun tak tahu. Jadi amat sukar untuk sesiapa mencetak sijil kami 100 peratus asli.

"USIM juga ada pangkalan data yang membolehkan majikan tahu sama ada peminta kerja itu betul belajar di USIM. Jadi majikan hanya perlu menghubungi kami," katanya.

Bagaimanapun, kata Hammad Farhi, USIM masih belum menerima laporan ada individu menggunakan ijazah palsu atas nama universiti tersebut untuk meminta kerja.

"Bagi saya ini tidak adil. Hendak menuntut ilmu bukan senang dan memakan masa bertahun-tahun. Tiba-tiba ada yang dengan mudah jual saja ijazah.

"Kalau individu itu dapat kerja atas ijazah palsu, tidak adil untuk pelajar lain yang bersusah payah dapat ijazah tersebut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Biarpun kecoh, ijazah palsu masih dijual di Internet

ARTIKEL BERKAITAN: Sijil palsu: 30 hingga 40 kes direkod sebulan

Artikel Berkaitan: