Covid-19: 4,519 kes baharu, 25 kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia terus mencatatkan kes harian Covid-19 yang tinggi apabila merekodkan sebanyak 4,519 kes baharu dengan 25 kes kematian, pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negara ini ialah sebanyak 436,944 kes dengan jumlah keseluruhan kematian pula ialah sebanyak 1,657 orang.

“Terdapat lima kes import yang kesemuanya warganegara. Sebanyak 4,514 kes tempatan dengan 3,964 daripadanya adalah warganegara dan 550 kes bukan warganegara,” katanya ketika sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 pada Sabtu.

Menurutnya, daripada 25 kematian yang berlaku pada Sabtu, hanya satu kes yang melibatkan bukan warganegara dengan selebihnya adalah warganegara.

Katanya, kes kematian tersebut melibatkan lima kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak, masing-masing empat kes di Selangor dan Johor, selain Kelantan (dua), Kedah (dua) serta masing satu di Sabah, Perak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 36,564 kes aktif di seluruh negara.

"Jumlah kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) adalah sebanyak 393 kes dengan 210 kes memerlukan bantuan pernafasan,” jelas beliau.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan sebanyak 16 kluster baharu yang dikesan pada Sabtu melibatkan lapan kluster tempat kerja, enam kluster komuniti manakala kluster keagamaan dan kluster institusi pendidikan KPM masing-masing merekodkan satu kluster baharu.

Artikel Berkaitan:

“Jumlah kluster yang telah tamat ialah 1,346 kluster dengan jumlah kluster aktif sebanyak 429,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan mengikut unjuran nilai Rt semasa iaitu 1.10, KKM menganggarkan negara akan mencapai 5,000 kes sehari dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang.

“Bagaimanapun, jumlah kes harian yang dilaporkan untuk dua hari berturut-turut kini menghampiri 5,000 kes dengan kes pada Sabtu ialah sebanyak 4,519,” katanya.