Hospital swasta jadi PPV bantu rakyat dapat vaksin

Hospital Pakar CMH bersedia jadi PPV di Negeri Sembilan.
Hospital Pakar CMH bersedia jadi PPV di Negeri Sembilan.
A
A
A

SEREMBAN - Penglibatan hospital swasta di negeri ini sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), dapat membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concept, Datuk Lee Tian Hock berkata, dua hospital iaitu Hospital Pakar CMH (CMH) dan Hospital Perubatan Mawar (MMC) telah mendapat persetujuan untuk menjadi Pusat Vaksinasi Covid-19 di Negeri Sembilan di bawah PICK.

Katanya, langkah itu membantu kerajaan mencapai sasaran 80 peratus penduduk menerima vaksinasi Covid-19 dengan lebih cepat.

"MMC telah menerima surat persetujuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala CMH masih menunggu surat kelulusan.

“Kita (hospital swasta) sentiasa menyokong usaha KKM untuk mempercepatkan proses vaksinasi bagi mencapai imuniti berkelompok 80 peratus seperti yang disasarkan.

“Jika hanya bergantung kepada pusat kesihatan kerajaan semata-mata, kita tidak akan mencapai sasaran itu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-87 ‘Negeri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMA)’ di sini pada Sabtu.

Datuk Lee Tian Hock pada sidang media pada Sabtu.
Datuk Lee Tian Hock pada sidang media pada Sabtu.

Beliau yang juga Presiden Hospital Pakar CMH berkata, semua 256 kakitangan di MMC dan 449 kakitangan CMH sudah mengambil vaksin sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebanyak 299 buah hospital dan klinik swasta di seluruh negara sudah mula beroperasi dan bersedia untuk dijadikan sebagai PPV dalam PICK.

Menurut beliau, jumlah tersebut adalah daripada 2,448 buah hospital dan klinik swasta yang telah berdaftar sebagai PPV.

Sementara itu katanya, pada tahun lalu, Hospital Pakar CMH berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM80.9 juta melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM75 juta.

“Walaupun 2020 merupakan tahun kita menghadapi pandemik Covid-19, namun pendapatan pada tahun tersebut melebihi perolehan berbanding tahun 2019 iaitu RM79.4 juta, ini bermakna ia merupakan peningkatan sebanyak 1.9 peratus.

“Susut nilai kami mencatatkan berkurangan sebanyak 90 peratus. Ia disebabkan oleh empat faktor iaitu menampung kos ujian RT-PCR pesakit, elaun Covid-19 kakitangan hospital, kerugian dalam operasi dialisis dan juga kos penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan kakitangan hospital,” katanya.