ABIM kecam polis Israel ceroboh Masjid Al-Aqsa

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam keras kekejaman polis Israel yang menceroboh pekarangan Masjid Al-Aqsa hingga mengakibatkan kecederaan kepada lebih 100 penduduk Palestin, pada Jumaat.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perbuatan polis Israel itu disifatkannya sebagai biadab kerana ia dilakukan ke atas umat Islam yang sedang beribadah dalam bulan Ramadan.

Tegasnya, kekerasan dilakukan pasukan keselamatan Israel itu juga didapati tidak berasas kerana mereka menyerang umat Islam yang sedang beribadah dan secara terang-terangan tidak memberikan sebarang ancaman keselamatan.

“Justeru kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana membabitkan masyarakat awam termasuk wanita serta kanak-kanak sepertimana dilaporkan media antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, AFP melaporkan sekurang-kurangnya 160 orang cedera dalam satu pertembungan yang berlaku antara polis Israel dan rakyat Palestin di pekarangan masjid Al-Aqsa.

Ketegangan di Baitulmuqaddis mula meningkat sejak beberapa minggu lalu selepas penduduk Palestin terhadap perpindahan secara paksa beberapa buah keluarga dari Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur.

Sementara itu, Muhammad Faisal turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk membuka mata serta menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin yang secara berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang melangkaui norma kemanusiaan sejagat.

“ABIM juga menuntut pemimpin dunia khususnya dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia membuktikan solidariti dengan mengenakan tekanan politik sehingga kekejaman seperti ini dihentikan sama sekali,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: