'Ambil saja pakaian, tidak perlu bayar'

Nicole (tengah) menunjukkan antara pakaian di kedai ala butik berkenaan di Taman Bukit Kepayang, Seremban pada Sabtu.
Nicole (tengah) menunjukkan antara pakaian di kedai ala butik berkenaan di Taman Bukit Kepayang, Seremban pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah kedai ala butik di Taman Bukit Kepayang di sini dijadikan tempat untuk mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan pakaian raya secara percuma menerusi program Muhibah Raya.

Ia merupakan inisiatif Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan bagi membantu golongan kurang berkemampuan tanpa mengira kaum dan agama, dalam masa sama memberi peluang kepada mana-mana pihak untuk menyumbang.

Nicole berkata, setiap hari pihaknya menerima sumbangan pakaian baharu dan terpakai untuk mengisi ruang dalam kedai tersebut.

"Semua barangan dalam kedai ini boleh diambil secara percuma. Tiada sebarang bayaran atau yuran dikenakan. Semuanya percuma sempena menyambut Aidilfitri.

"Kita mahu jadikan kedai ini seperti 'One Stop Free Shopping Centre', membeli-belah tetapi tiada bayaran," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini hanya pakaian sahaja disediakan, sementara pelbagai barangan lain seperti kasut, pinggan mangkuk dan makanan akan menyusul selepas ini.

Antara yang datang mengambil pakaian yang disediakan.
Antara yang datang mengambil pakaian yang disediakan.

"Esok (Ahad) akan ada beberapa barangan lain akan sampai. Kita undang orang ramai terutama mereka yang kurang berkemampuan datang ke sini membeli-belah secara percuma," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Muhibah Raya di Taman Bukit Kepayang di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, program berkenaan berlangsung bermula Jumaat hingga 16 Mei ini, namun akan dilanjutkan sekiranya sambutan menggalakkan.

Beliau berkata, sejak dua hari kedai berkenaan dibuka, lebih 50 individu termasuk datang bersama keluarga datang mengambil pakaian disediakan.

"Kita rasa gembira apabila dapat menggembirakan orang lain. Mungkin ini nampak biasa bagi kita, tetapi jadi sesuatu yang istimewa buat mereka yang sangat memerlukan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga dialu-alukan untuk menyumbang pakaian atau barangan bekalan makanan di kedai berkenaan.