X

Kindly register in order to view this article
!

Kekecohan di pejabat Bersatu seolah-olah dirancang

Khairul Anuar menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Kulim pada Khamis.
A
A

ALOR SETAR - Kekecohan yang berlaku di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Padang Serai pada petang Khamis bukan seperti yang digambarkan dalam laman sosial.

Ketua Bersatu Bahagian Padang Serai, Khairul Anuar Ramli berkata, kejadian yang menjadi tular itu hanya menampilkan sebahagian rakaman video.

Beliau berkata, perkara itu seolah-olah dirancang beberapa individu yang hadir ke pejabatnya sehingga mencetuskan provokasi dan insiden tolak menolak.

“Dalam kejadian sekitar 1.45 tengah hari itu, saya dan beberapa staf didatangi tiga individu dikenali. Sejak awal saya rasa seperti akan berlaku sesuatu, seolah-oleh mereka merancang sesuatu.

"Seorang daripada mereka pegang telefon bimbit untuk merakamkan suasana, sebelum masuk seorang individu dalam keadaan marah dan menengking saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan klip video berdurasi 19 saat yang tular sejak Khamis memaparkan Khairul Anuar menolak kehadiran seorang individu berusia dan miskin yang datang ke pejabatnya untuk mohon bantuan.

Sementara itu, Khairul Anuar berkata, kedatangan sekumpulan individu itu adalah untuk mengambil barangan yang didakwa milik mereka.

“Saya jelaskan kepada mereka bahawa barangan berkenaan bukan milik Bersatu Padang Serai, sebaliknya pemberian daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz untuk disampaikan kepada Bahagian di Kedah dan Perlis. Pejabat saya dijadikan transit sebelum diedar.

"Apa yang dikesali, penjelasan saya itu tidak diterima mereka dan berlaku provokasi. Saya dihambur kata-kata kesat konon tidak diedarkan kepada mereka termasuk kepada Ahli Jawatankuasa Bahagian,” katanya.

Menurutnya, berikutan keadaan sudah tidak terkawal, dia cuba menegah individu berkenaan memasuki premis kerana memakai kasut, namun kejadian itu menjadi tular kononnya dia menolak individu tersebut.

“Saya percaya ia sengaja dirancang untuk mengaibkan saya dan Bersatu Padang Serai. Ia fitnah dan berniat jahat untuk mencalarkan imej saya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Khairul Anuar membuat satu laporan berhubung kejadian di Balai Polis Kulim pada Khamis.

Menurutnya, pihaknya bercadang untuk meneruskan proses perundangan agar ia menjadi pengajaran kepada pihak terlibat.

“Nasihat saya, lihat rakaman penuh dari awal, jangan hukum sebelah pihak saja. Sepatutnya sebagai orang parti, tanggungjawab kita berkhidmat kepada rakyat dan pastikan bantuan daripada pimpinan sampai kepada golongan memerlukan, bukan agih sesama kita,” katanya.

Malah, katanya, tidak mungkin rakyat yang datang memohon bantuan dilayan sedemikian, apatah lagi pada bulan Ramadan.

“Sekiranya ada perbezaan pendapat, boleh bersemuka dengan saya. Saya sedia berbincang, bukan bergaduh seperti ini,” katanya.

-end-


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!