X

Kindly register in order to view this article
!

2,517 pelajar UMP mula pulang ke kampung beraya

Dr Yuserrie bertemu pelajar yang pulang ke kampung untuk berhari raya pada sesi pergerakan pada Jumaat.
A
A

KUANTAN - Seramai 2,517 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) mula pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing secara berperingkat mulai Jumaat.

Bagi tujuan itu, UMP menyediakan 18 bas bagi melancarkan penghantaran pulang para pelajar mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, pada hari pertama, seramai kira-kira 900 pelajar pulang dengan menaiki kenderaan sendiri, kenderaan UMP, penerbangan dan ada yang dijemput ibu bapa.

Menurutnya, pihak pengurusan universiti telah bersetuju menetapkan mekanisme kawalan pergerakan pelajar secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal.

"Pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan Aidilfitri kali ini.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang berdasarkan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau menggunakan kenderaan yang diselaraskan UMP," katanya.

Beliau yang mengetuai Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu) berkata, pelajar yang pulang menggunakan kenderaan sendiri, mereka dibenarkan berbuat demikian dengan surat kebenaran yang dikeluarkan UMP bermula 7 hingga 12 Mei depan dan dijangka kembali ke kampus semula pada 15 hingga 20 Mei.

"Pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan awam kecuali perkhidmatan penerbangan.

"Selain itu, bagi pergerakan ibu bapa atau penjaga pelajar yang melibatkan keperluan merentas daerah atau negeri perlu membawa bersama surat pelepasan yang dikeluarkan pihak universiti untuk pulang ke kampung dan balik semula ke kampus," katanya.

Beliau berkata, pelajar yang menggunakan kenderaan diselaras UMP, pengangkutan akan disediakan namun jumlahnya agak terhad.

"Masa perjalanan dan pusat hentian bas bagi setiap negeri berdasarkan ketetapan pihak UMP dengan tarikh pergerakan bermula pada 7 hingga 11 Mei dan kembali semula ke kampus pada 16 hingga 20 Mei depan," katanya.

Dr Yuserrie berkata, hanya pelajar sedia ada, pelajar yang sedang menjalani latihan industri dan pelajar yang telah dikenal pasti oleh pihak UMP di bawah kategori pelajar berkeperluan enam kategori sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus sempena cuti Aidilfitri ini.

Ujarnya, pelajar yang pulang ke kampung sepatutnya mengambil peluang sebaiknya untuk bersama keluarga dan sentiasa mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.

"Bagi 1,200 pelajar yang tidak pulang ke kampung dan berada di kampus sempena hari raya ini, pihak universiti merancang untuk menyediakan “Syawal Pax” untuk mereka dengan tajaan Yayasan UMP.

"Pelajar yang memerlukan keterangan lanjut, boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Kampus Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan) untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan prosedur yang berkaitan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!