Empat negeri rekod daftar lewat kelahiran tinggi

Ruslin (kiri) menyerahkan sijil kelahiran daftar lewat kepada Nur Iffika Dahlia selepas mengunjungi keluarga itu di rumah mereka di Kampung Gong Balai, Merchang, Marang pada Sabtu.
Ruslin (kiri) menyerahkan sijil kelahiran daftar lewat kepada Nur Iffika Dahlia selepas mengunjungi keluarga itu di rumah mereka di Kampung Gong Balai, Merchang, Marang pada Sabtu.
A
A
A

MARANG - Empat negeri dilaporkan merekodkan jumlah permohonan pendaftaran lewat kelahiran paling tinggi dalam negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh berkata, empat negeri itu ialah Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun katanya, trend pendaftaran lewat kelahiran menunjukkan penurunan sejak 10 tahun lepas dengan jumlah permohonan direkodkan bermula tahun 2010 hingga 2020 ialah 216,183 kes.

“Tahun 2010 kita mempunyai 30,466 permohonan pendaftaran lewat kelahiran dan jumlah ini makin berkurang saban tahun dengan data terkini dicatatkan pada tahun lepas adalah 6,894 permohonan saja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) 'Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri' anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu di Kampung Gong Balai, Merchang, di sini pada Sabtu.

Pada majlis itu, Ruslin menyerahkan sijil kelahiran daftar lewat kepada Nur Iffika Dahlia Rusli, 9, dan adiknya, Nur Irine Delisha, 2, yang tiada dokumen pengenalan diri selepas kelahiran mereka tidak didaftarkan.

Pendaftaran lewat kelahiran dua beradik itu berlaku disebabkan ibu bapa kanak-kanak itu mempunyai masalah kewangan dan kesihatan.

Hadir sama, Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Abdul Muie Ngah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, tinggal berjauhan dari Pejabat Pendaftaran Negara dan sikap endah tidak endah ibu bapa antara alasan pemohon mendaftar lewat kelahiran.

Bagaimanapun katanya, alasan itu sukar diterima kerana JPN mempunyai 235 pejabat di seluruh negara dengan setiap kelahiran wajib didaftarkan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung Malaysia dan 14 hari bagi Sabah dan Sarawak.

“Saya harap orang ramai tidak mengambil mudah soal pendaftaran kelahiran kerana boleh mendatangkan masalah di kemudian hari seperti mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan,” katanya.