X

Kindly register in order to view this article
!

GPMS Perak pantau kebajikan pelajar IPT tak pulang beraya

Muhammad Asree membantu seorang daripada 35 anak yatim memilih baju raya sempena program Cahaya Aidilfitri GPMS Perak di Mydin Manjoi, Ipoh pada Sabtu.
A
A

IPOH - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak akan membantu memantau kebajikan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negeri ini yang tidak pulang berhari raya di kampung masing-masing.

Pengerusinya, Muhammad Asree Abd Aziz berkata, terdapat sejumlah pelajar yang tidak pulang dan mahu kekal berada di kampus pada Aidilfitri ini atas pelbagai alasan termasuk sebahagian besarnya disebabkan kampung mereka berada dalam lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketat (PKPD).

Muhammad Asree Abd Aziz
Muhammad Asree Abd Aziz

"Kita mendapat maklumat daripada Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPT bahawa mereka masih lagi dalam peringkat membuat kiraan terakhir pelajar yang tidak balik kampung kerana pergerakan pulang masih berlaku pada hujung minggu ini dan sekitar minggu hadapan.

"Apabila peroleh jumlah yang tepat nanti, kita boleh aturkan program untuk mereka seperti memberi sumbangan makanan dan sebagainya," katanya ketika ditemui sempena program Cahaya Aidilfitri GPMS Perak di Mydin Manjoi di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, sewaktu PKP pertama tahun lalu, GPMS Perak juga mengambil inisiatif memberi sumbangan barangan keperluan kepada pelajar IPT yang terputus bekalan makanan.

“Kali ini kita mendapatkan kerjasama dengan IPT lagi untuk memberi dalam bentuk yang berbeza seperti kotak Aidilfitri mengandungi kuih raya, ketupat dan sebagainya. Ia bagi mengubati rindu mereka kepada keluarga di kampung masing-masing," katanya.

Muhammad Asree (kiri) melihat seorang daripada 35 anak yatim memilih kasut baharu sempena program Cahaya Aidilfitri GPMS Perak di Mydin Manjoi, Ipoh pada Sabtu.
Muhammad Asree (kiri) melihat seorang daripada 35 anak yatim memilih kasut baharu sempena program Cahaya Aidilfitri GPMS Perak di Mydin Manjoi, Ipoh pada Sabtu.

Sementara itu, menerusi program Cahaya Aidilfitri kali ini, GPMS Perak meraikan seramai 35 anak yatim dari Rumah Anak Yatim JASA dan Pangsapuri Kepayang dengan membawanya membeli kelengkapan raya seperti baju raya, songkok dan kasut.

Muhammad Asree berkata, ia sebahagian aktiviti tahunan bagi berkongsi rezeki bersama golongan kurang bernasib baik.

Menurutnya, program lain yang turut diadakan ialah sumbangan 50 kotak makanan kepada keluarga B40 dan asnaf di dua lokasi iaitu Tanbun dan Ipoh serta bekalan 300 pek makanan juadah berbuka puasa kepada penduduk Pangsapuri Kepayang di Ipoh.

“Program seperti ini kita adakan setiap tahun untuk memastikan GPMS bukan setakat buat program luaran sahaja tetapi ada kumpulan sasaran seperti anak yatim, pelajar sekolah dan IPT," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!