Penerusan Projek LCS didakwa jaga kepentingan kontraktor bukan TLDM

Mohamad (kanan) dan Chin Tong
Mohamad (kanan) dan Chin Tong
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Jemaah Menteri membuat keputusan meneruskan Projek Littoral Combat Ship (LCS) didakwa semata-mata untuk menjamin kepentingan kontraktor dan subkontraktor Boustead Naval Shipyard (BNS).

Ia juga didakwa bukan untuk memastikan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapat bilangan kapal tempur yang menepati keperluan semasa.

Demikian dakwaan bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan bekas timbalannya, Liew Chin Tong susulan kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menjelaskan bahawa kerajaan memutuskan untuk meneruskan kontrak bersama BNS bagi LCS baru baru ini.

Dalam kenyataan bersama Mohamad dan Chin Tong pada Sabtu, mereka melahirkan kebimbangan sekiranya niat kerajaan hanya terhad kepada kepentingan kontraktor dan bukan kepada pengguna kapal itu

“Istilah 'TLDM' dan 'keperluan peralatan' tidak sekali pun disebut di mana-mana dalam kenyataan ini.

“Kami cukup bimbang sekiranya niat kerajaan hanya terhad kepada kepentingan kontraktor, dan bukan kepada pengguna kapal itu.

“Tidak dinafikan bahawa tidak elok untuk kita menutup periuk nasi sesiapa, lagi-lagi ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Mereka turut mengingatkan kerajaan bahawa tujuan utama projek itu dijalankan selain membangunkan industri pertahanan tempatan adalah untuk melengkapkan TLDM dengan peralatan moden.

Artikel Berkaitan:

Menurut mereka, pemikiran Kabinet yang gagal meletakkan keperluan TLDM sebagai pertimbangan utama dalam hal ini mengecewakan.

"Kenyataan menteri berkenaan tidak menyentuh tentang rancangan lanjut kerajaan dan jadual untuk memastikan kapal-kapal ini akan disiapkan," kata dua pemimpin daripada Parti Amanah Nasional (Amanah) dan DAP terbabit.

Malah, mereka berkata, tiada sebarang ulasan juga tentang masalah hakiki yang menyebabkan kelewatan itu berlaku.

“Sepertimana yang telah kami jelaskan berkali-kali di Parlimen dan juga melalui pelbagai catatan, terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan.

“Pertama, apakah status reka bentuk terperinci (detailed design) kapal LCS? Adakah detailed design tersebut telah siap dan diterima oleh autoriti reka bentuk (design authority), iaitu syarikat DCNS Naval Group?

“Selagi mana isu ini tidak diselesaikan, selagi itulah kemajuan kapal tak akan ke mana,” kata mereka.

Menurut mereka, tambahan pula Menteri Pertahanan telah menjelaskan bahawa DCNS Naval Group tidak akan terlibat dalam usaha menyelamatkan kontrak ini.

“Bagaimanakah isu 'detailed design' ini dapat diselesaikan jika autoritinya sendiri tidak dilibatkan bersama?

"Kedua, apakah status dana berjumlah RM1 bilion yang telah hilang daripada akaun projek? Apakah status forensik audit?

"Pada bulan Disember yang lalu, Menteri Pertahanan telah menjelaskan dua-dua perkara ini sedang diusahakan.

"Apakah status semasa siasatan? Adakah duit yang hilang itu akan dikembalikan? Sekiranya tidak, apakah langkah lanjutan kerajaan untuk memenuhi jurang kewangan yang wujud hasil daripada kehilangan dana ini," soal mereka.

Sebenarnya, kata mereka, pada 11hb Februari 2020, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kehilangan dana RM1 billion yang diperuntukkan untuk project LCS.

Mereka turut mempersoalkan sekiranya kerajaan tidak akan menyalurkan apa-apa dana tambahan, berapa buah kapal LCS yang akan disiapkan?

“Adakah wajar untuk kerajaan menerima kurang daripada empat buah kapal, walhal lebih daripada dua pertiga jumlah siling telah dibayar?

“Lebih penting lagi, apakah masa depan untuk kelompok kapal LCS seterusnya? Program 15-to-5 menyatakan keperluan untuk 12 kapal secara keseluruhannya, terbahagi kepada dua kelompok, setiap satunya terdiri daripada enam buah kapal.

“Sekiranya enam kapal tidak disiapkan sepenuhnya, apakah akan terjadi kepada kapal-kapal seterusnya dalam 10 tahun akan datang?,” soal mereka lagi.

Justeru Mohamad dan Chin Tong menyeru pihak kerajaan agar mengambil pendekatan yang lebih holistik terhadap isu ini.

“Memang terang lagi bersuluh bahawa penamatan kontrak ini akan menjejaskan kontraktor pertahanan tempatan. Tetapi persoalan juga timbul tentang keupayaan TLDM dalam masa terdekat.

“Segala kegagalan dan kepincangan yang dihadapi dalam pengendalian projek ini perlu juga disemak, disiasat, dan seterusnya dibukukan dan dijadikan iktibar. Perkara ini tidak boleh dibiarkan untuk berulang lagi,” katanya.