Lapor polis berhubung bendera Perak dikibar separuh tiang

Al Yashir (tengah) bersama ahli Kelab Kebajikan Masyarakat Ipoh Selatan menunjukkan laporan polis yang dilakukan di Balai Polis Kampung Rapat, pada Sabtu.
Al Yashir (tengah) bersama ahli Kelab Kebajikan Masyarakat Ipoh Selatan menunjukkan laporan polis yang dilakukan di Balai Polis Kampung Rapat, pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kelab Kebajikan Masyarakat Ipoh Selatan menyelar tindakan biadab individu yang mengibarkan bendera Perak separuh tiang di Stadium Perak di sini pada Jumaat.

Pengerusinya, Al Yashir Yahaya berkata, tindakan kumpulan yang tidak dikenali itu dianggap merendah-rendahkan darjat bendera negeri serta pemerintahnya.

Menurutnya, menurunkan bendera separuh tiang adalah tidak wajar kerana ia melambangkan berkabung atas kematian pembesar negeri dan negara.

"Kejadian itu dipercayai disebabkan rasa tidak puas hati dan kecewa terhadap pengurusan pasukan berhubung isu gaji pemain. Mungkin ada penjelasan di sebaliknya.

"Bagaimanapun, jangan melibatkan bendera Perak atau apa-apa lambang dan menurunkan bendera separuh tiang menunjukkan pembesar negeri seolah-olah bersalah dalam isu ini," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada Sabtu.

Al Yashir berkata, laporan dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.

"Pihak polis diminta menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana ia menggugat kestabilan perpaduan di negeri ini.

"Kami berharap tiada lagi insiden serupa dilakukan dan semua rakyat dinasihatkan untuk menghormati bendera dan jata negeri kerana ia lambang kedaulatan tidak kira kepercayaan ataupun bangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, media melaporkan pemain Perak FC memboikot latihan di Stadium Perak kerana isu gaji. Latihan yang sepatutnya bermula jam 10 malam bertukar menjadi sesi perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Rizal Ali Naiz Ali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya sedia maklum mengenai kejadian itu dan siasatan awal mendapati berlaku kesilapan teknikal.

"Kita juga ada menasihatkan pihak terlibat untuk tidak tularkan isu itu sebaliknya menyalurkan aduan kepada pihak pengurusan tertinggi terlebih dahulu," katanya.