Jumlah kenderaan masuk Kelantan meningkat lima peratus

Shafien Mamat - Foto: Bernama
Shafien Mamat - Foto: Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jumlah kemasukan kenderaan di negeri ini menunjukkan peningkatan berbanding hari biasa walaupun kerajaan masih mengenakan tindakan larangan rentas negeri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, hasil maklumat yang diperoleh jumlah kemasukan kenderaan bertambah sebanyak lima peratus berbanding biasa sejak Jumaat.

"Maklumat tersebut hasil pemeriksaan menerusi Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu-pintu masuk utama ke negeri ini iaitu di Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun sebanyak 75 kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba memasuki negeri ini dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta alasan yang diberikan tidak munasabah.

Beliau berkata, untuk memastikan tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan merentas negeri atau daerah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Polis Kelantan telah mewujudkan pasukan pemantauan khas.

Shafien berkata, selain itu lima SJR turut ditambah melibatkan tiga daerah iaitu di Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Mas terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Katanya, polis juga akan menambah bilangan pasukan penguat kuasa untuk memantau tahap pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam seperti pusat beli belah.

"Nasihat saya kepada semua rakyat supaya sentiasa patuh kepada SOP bagi membantu kerajaan membendung penularan pandemik Covid-19 di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: