WFW terima 49 aduan dalam tempoh lima hari dilancar

Awang (tiga kiri) mengacau dodol sebagai simbolik perasmian Program Jualan Pra-Syawal Pasar Tani Kekal (PTK) Guar Chempedak di Yan pada Sabtu.
Awang (tiga kiri) mengacau dodol sebagai simbolik perasmian Program Jualan Pra-Syawal Pasar Tani Kekal (PTK) Guar Chempedak di Yan pada Sabtu.
A
A
A

YAN - Sebanyak 49 aduan diterima oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan setakat Jumaat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, jumlah tersebut dijangka bertambah pada minggu depan selepas semua Pusat Tenaga Kerja (PTK) akan mula beroperasi menerima aduan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, Selangor dan Kuala Lumpur muncul dua negeri paling tinggi aduan yang diterima selepas lima hari dilancarkan iaitu sebanyak 15 dan 14 kes.

"Aplikasi yang dilancarkan ini adalah untuk melindungi pekerja yang didiskriminasi oleh majikan atau pihak-pihak yang terlibat dalam bidang pekerjaan dengan aduan terus sampai kepada Menteri dan Timbalan Menteri KSM.

"Objektifnya adalah untuk mengambil tindakan atau memberikan makluman yang cepat terutamanya kepada pekerja tempatan dan juga asing," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jualan Pra-Syawal Pasar Tani Kekal (PTK) Guar Chempedak, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas aplikasi WFW dilancarkan pada Isnin lalu oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang menjadi platform kepada 15.7 juta pekerja termasuk warga asing mengemukakan aduan dan permasalahan berkaitan isu perburuhan.

Saravanan memberi jaminan bahawa identiti pengadu akan dirahsiakan dan aduan diterima akan diambil tindakan antara tiga dan tujuh hari manakala status pelaporan akan dipantau oleh pengurusan tertinggi kementerian termasuk beliau dan Awang.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah, Isa Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Awang berkata, negeri-negeri lain seperti Kedah mencatatkan lima aduan, Johor (empat), Perak (tiga), Pulau Pinang (tiga), Sarawak (dua) manakala Melaka, Pahang, dan Terengganu mencatatkan masing-masing satu aduan.

Menurutnya, pecahan aduan yang diterima tersebut membabitkan sebanyak 24 kes daripada pekerja tempatan, 24 kes daripada pekerja warga asing dan satu kes melibatkan pegawai dagang,

"Antara aduan yang diterima menerusi aplikasi WFW adalah isu berkaitan pekerja dibuang kerja tanpa notis, tidak dibayar gaji dan bekerja tanpa kontrak.

"Perkara paling penting, kita kini sedang berdepan pandemik Covid-19 yang belum tahu bila akan berakhir. Gabungan tiga pihak iaitu kerajaan, majikan dan pekerja adalah sangat penting untuk kembali merangsang ekonomi negara yang telah menguncup sebelum ini," ujarnya.

Tambah beliau, aplikasi itu bukan sahaja untuk menjaga kebajikan pekerja tetapi juga majikan kerana setiap aduan juga akan ada tapisan yang dilakukan oleh jawatankuasa terbabit.

-end-