Pemuda Amanah Terengganu sedia pantau wang royalti minyak

 Zamir
Zamir
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pemuda Amanah Terengganu akan menjadi mata dan telinga untuk memantau sebarang penyalahgunaan wang milik rakyat negeri Terengganu susulan keputusan kerajaan PH mengembalikan semula wang tunai petroleum (WTP) kepada negeri ini.

Naib Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali berkata, pemulangan WTP amat bermakna kepada rakyat negeri Terengganu kerana ia merupakan sumber utama kewangan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya kerajaan negeri menggunakan WTP bagi meningkatkan ekonomi negeri, membina fasiliti awam dan kesejahteraan rakyat, bukan untuk kepentingan parti demi survival politik.

“Pemuda Amanah Terengganu menyambut baik tindakan kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran PH mengembalikan hak royalti minyak milik negeri Terengganu. Tindakan ini sekaligus membuktikan pentadbiran PH komited dalam menunaikan manifesto PRU14.

“Amanah Terengganu sentiasa berusaha menuntut agar royalti minyak ini dikembalikan, sejak ia ditarik balik pada tahun 2000 walaupun pada ketika itu, BN yang mentadbir negeri Terengganu dan juga di peringkat Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Ketua Pemuda Amanah Kuala Terengganu itu berkata, pihaknya turut menerima keterbukaan Kerajaan Persekutuan yang tidak lagi menyekat pemimpin pembangkang untuk masuk ke agensi Kerajaan Persekutuan termasuk ke sekolah-sekolah.

Terbaharu katanya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dijemput merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila, Marang.

“Diharap keterbukaan yang diberi oleh kerajaan persekutuan tidak akan disalahguna oleh pembangkang bagi tujuan kepentingan politik kepartian," katanya.

Artikel Berkaitan: