Majikan main peranan sebar luas inisiatif disedia kerajaan

Kenyataan PKPB
Kenyataan PKPB
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) meminta majikan memainkan peranan dalam menyebarluaskan inisiatif disediakan kerajaan untuk bakal pekerja tempatan yang baharu.

Setiausaha Agung PKPB, Mohammad Rizan Hassan berkata, dalam masa sama majikan perlu mengelak daripada mengamalkan sikap meletakkan segalanya pada kerajaan dan mengukir sikap mengharapkan insentif semata-mata.

"Walaupun masih banyak majikan berdepan pelbagai kerenah sikap pekerja tempatan seperti memilih kerja, tidak kekal lama bekerja dan banyak lagi, itu bukanlah alasan majikan mendesak kerajaan membenarkan kemasukan pekerja asing dalam suasana pandemik Covid-19 sekarang," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohammad Rizan berkata, terdapat banyak ruang dan peluang kepada majikan untuk mendapatkan sumber pekerja jika bersedia kolaborasi dengan pelbagai pihak di lapangan.

Menurutnya, majikan juga perlu tampil dan berperanan sebagai pusat latihan kepada golongan Belia NEET (Not in Employment, Education and Training) yang tidak berpeluang mendapatkan latihan di institusi latihan.

"Kesediaan majikan mengeluarkan sedikit kos memberi latihan dalaman seterusnya menyediakan pekerjaan akan lebih meningkatkan bilangan pencari kerja mendapat pekerjaan di negara ini.

"Tidak salah kalau kos mendapatkan pekerja asing yang tinggi itu dapat diperuntukkan pada membina bakat tempatan dengan acuan majikan itu sendiri," katanya.

Pada masa sama, katanya, majikan juga diminta lebih memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja benar-benar terjamin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kewujudan banyak kluster tempat kerja dalam penularan Covid-19 membuktikan ada majikan yang hanya mementingkan keuntungan dan tidak sensitif kepada perkembangan semasa.

"Sikap begini hanya akan merugikan majikan itu sendiri jika tindakan undang-undang diambil oleh kerajaan dan ia tersebar luas dalam kalangan masyarakat," katanya.

Pada Jumaat, seramai 150,597 pencari kerja mendapat pekerjaan melalui 12 program dilaksanakan kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Mohammad Rizan, ia merupakan petanda positif dalam usaha merancakkan kegiatan ekonomi negara.

"Inisiatif dan insentif disediakan kerajaan perlu direbut masyarakat khususnya belia dan dimanfaatkan majikan yang akhirnya memberikan kesejahteraan ekonomi dan sosial yang baik kepada semua," katanya.