PKPD Sekolah Menengah Sains Banting tamat semalam

PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting di sini ditamatkan mengikut jadual pada Jumaat lalu.
PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting di sini ditamatkan mengikut jadual pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LANGAT - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Sains Banting di sini ditamatkan mengikut jadual pada Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, ia hasil keputusan penilaian risiko dan atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Langat selepas terdapat penurunan kes dan kluster itu berada dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, sebanyak 113 kes positif direkodkan sejak 30 April lalu dengan kes terakhir pada 3 Mei lalu iaitu sebanyak empat kes.

"Sebanyak 996 saringan dilakukan di sekolah tersebut terdiri pelajar, guru, kakitangan, warden, pekerja dewan makan, pembersihan dan pengawal keselamatan.

"Sebanyak 112 kes positif tersebut membabitkan pelajar asrama manakala baki satu kes positif adalah pekerja dewan makan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, saringan awal kepada 166 orang terdiri kumpulan pelajar tidak berisiko dan tiada kontak telah dijalankan pada 30 April mendapati kesemua negatif dan diberikan pelepasan awal pada 1 Mei.

Katanya, penilaian risiko diteruskan ke atas baki 558 orang pelajar yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu 506 pelajar 'medium risk' dan 52 yang lain merupakan kontak rapat kes positif Covid-19.

"Kategori pertama terdiri kumpulan 'medium risk' telah menjalani ujian RTK-Ag pada 6 Mei dan keputusan saringan adalah negatif.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kumpulan kontak rapat kes positif telah menjalani saringan pada 28 April dan 1 Mei. Mereka ini telah diasingkan dan dipantau oleh pihak PKD. Kumpulan ini perlu menghabiskan baki tempoh kuarantin mereka dan akan menjalani ujian saringan akhir," katanya.

Jelasnya, PKD Kuala Langat mengesyorkan kategori pertama dibenarkan pulang Jumaat lalu iaitu pada tarikh sama penamatan PKPD Sekolah Menengah Sains Banting.

" Waktu pulang pelajar juga adalah secara berjadual bagi mengurangkan kesesakan dan mengurangkan risiko jangkitan luar.

" Bagi kategori kedua pula, walaupun tarikh penamatan PKPD adalah pada 7 Mei, PKD akan menjalankan ujian saringan akhir pada 8 Mei (Sabtu) secara pentadbiran. Sekiranya mereka didapati negatif, mereka dibenarkan pulang pada Ahad, " katanya.

PKPD Sekolah Menengah Sains Banting telah dilaksanakan pada 24 April lalu susulan seorang pelajar Tingkatan Satu dikesan bergejala pada 12 April lepas.