Sindiket seludup mercun, rokok tumpas

A
A
A

JOHOR BAHRU- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan mercun dan rokok dengan penahanan lima lelaki dan merampas pelbagai jenis mercun, rokok dan kenderaan bernilai lebih RM1.38 juta dalam tiga serbuan berasingan sempena Op Kontraban, pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Simpang Renggam, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Taman Air Biru, Pasir Gudang kira-kira jam 10 pagi.

Dalam serbuan itu, dua lelaki tempatan berumur 39 dan 42 tahun telah ditahan.

"Kita berjaya merampas 157 kotak mercun pelbagai jenis dan sebuah kenderaan jenis Nissan Terrano yang dipercayai digunakan dalam sindiket tersebut.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM115,318. Tangkapan dan rampasan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207)," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Dalam serbuan kedua pula, pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 33 dan 37 tahun.

Serbuan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Putera Indah, Muar kira-kira jam 11 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 363 kotak dan guni mercun pelbagai jenis dan sebuah lori jenis Hicom yang dipercayai digunakan dalam sindiket itu telah dirampas, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah lebih RM352,350.

"Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Muar untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207)," ujarnya.

Sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas PGA Simpang Renggam di Johor pada Jumaat. - Foto PGA
Sebahagian daripada rokok seludup yang dirampas PGA Simpang Renggam di Johor pada Jumaat. - Foto PGA

Sementara rampasan ketiga dibuat kira-kira jam 12.30 tengah hari di Taman Selesa Jaya, Skudai.

Pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 64 tahun dan merampas 5,000 karton rokok pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam.

Turut dirampas, sebuah kenderaan jenis Toyota Unser yang dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pengedaran rokok seludup di sekitar kawasan Johor Bahru.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM913,000. Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke IPD Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

"Anggaran keseluruhan nilai ketiga-tiga rampasan berjumlah RM1,381, 668 dan dipercayai hasil tangkapan dan rampasan berjaya memutuskan satu rangkaian pengedaran mercun dan rokok seludup di kawasan tersebut," katanya.