X

Kindly register in order to view this article
!

Nasib pemandu bas dapat perhatian

Sui Hau (depan,tengah) menyampaikan 300 beg penyayang kepada pemandu bas ekspress dan persiaran.
A
A

SEBERANG JAYA - Seramai 300 pemandu bas ekspres dan bas persiaran menerima bantuan beg penyayang sumbangan badan amal, One Hope Charity & Welfare di sini pada Sabtu.

Pengerusinya, Chua Sui Hau berkata, beg berkenaan mengandungi makanan dan barangan keperluan asas bagi menceriakan golongan itu yang terjejas pendapatan berikutan penularan Covid-19 sejak tahun lalu.

Beliau berkata, ramai di antara mereka akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi dan berdepan kesukaran serta hilang punca pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

"Kami berharap pemberian yang tidak seberapa ini akan membantu mereka meneruskan kehidupan dan menceriakan sambutan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan berkenaan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Penasihat One Hope Charity & Welfare, Datuk Seri R Arunasalam dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pengusaha dan Pemandu Bas Utara, Ahmad Ruslan.

Sementara itu beberapa penerima yang ditemui bersyukur apabila nasib mereka mendapat perhatian One Hope Charity & Welfare.

Redha Ishak, 43 berkata, pendapatannya sebagai pemandu bas terkesan selepas kerajaan melaksanakan PKP yang telah menghadkan pergerakan orang ramai dan penutupan sektor ekonomi pada tahun lalu.

REDHA
REDHA

"Disebabkan itu, bas tidak dapat bergerak dan kami langsung tidak ada kerja hingga menyebabkan syarikat terpaksa memberhentikan pekerja.

"Ketika itu, saya cuba membawa lori dan menjadi pemandu e-hailing namun tidak sesuai dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain untuk menampung hutang dan perbelanjaan keluarga," katanya.

Bagaimanapun Redha berkata, selepas keadaan negara bertambah pulih majikannya sebelum ini memanggilnya untuk bekerja semula.

Turut berkongsi kegembiraan, Ramli Che Mat, 65, yang bekerja sebagai pemandu bas sejak 35 tahun lalu.

RAMLI
RAMLI

Ramli berkata, disebabkan Covid-19 dia terpaksa mengeluarkan semua simpanannya bagi menampung kehidupan selepas hilang punca pendapatan berikutan bas tidak dapat beroperasi.

"Saya dan isteri ada ambil tempahan menyediakan bawang goreng dan ais krim secara kecil-kecilan tetapi pendapatan yang diterima tidak banyak.

"Sekarang pun pendapatan bukan macam dulu tapi kami bersyukur ada yang sudi membantu dan prihatin dengan nasib kami," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!