Tiada seorang pemimpin PH bertanya sendiri kepada Dr Mahathir

A
A

SHAH ALAM - Pas mendakwa tiada seorang pun pemimpin utama PH bertanyakan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tujuan dokumen sokongan sekiranya berlaku pembelotan rakan dalam gabungan parti itu terhadapnya.

Sebaliknya menurut Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dilihat seperti jaguh kampung dengan mendesak Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan bukti mengenai gerakan menjatuhkan Dr Mahathir.

"Kenapa Guan Eng tidak tanya Dr Mahathir sendiri untuk apa keperluan dan sebab meminta dokumen sokongan dari Pas? Sebenarnya Guan Eng tidak berani tanya kerana hanya akan mendedahkan pekung yang telah lama bernanah di dalam PH.

"Jika benar beliau dan DAP menyokong kepimpinan Dr Mahathir, cabaran untuk parti itu dan Guan Eng, adakah mereka bersetuju dan menyokong Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sehingga PRU 15?" soalnya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam satuk sidang media semalam, Takiyuddin mendakwa dua parti koponen PH mungkin merancang untuk menyingkiran Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Menurutnya, parti itu merasakan ada perkara tidak kena apabila Perdana menteri bercakap tentang rakan parti dalam PH sebelum ini.

Jelasnya, Pas berikrar memberi sokongan kepada beliau dalam pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu.

Susulan dakwaan tersebut, Guan Eng dalam satu kenyataan semalam menggesa Takiyuddin memberikan bukti tentang dakwaan tersebut dan jika tidak berbuat demikian, pemimpin Pas itu dianggap tidak bermaruah dan bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, Guan Eng perlu sedar, kejayaan PH menubuhkan kerajaan disebabkan oleh sokongan rakyat kepada Dr Mahathir terutama orang Melayu.

"Majoriti orang Melayu menolak DAP sejak dari dahulu lagi walaupun bermati-matian cuba mendapatkan sokongan orang Melayu. Beranikah Guan Eng dan DAP menyahut cabaran ini?

"Jika tidak berani bermakna sebenarnya memang akan berlaku seperti yang di jangka. Beliau tidak perlu berlagak seperti jaguh namun penakut seperti lempar batu sembunyi tangan. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu buat-buat tanya pula," katanya.

Beliau turut menyindir Setiausaha Agung DAP yang menjangkakan orang luar tidak mengetahui konflik yang berlaku dalam PH.

"Sebenarnya banyak rahsia dalam PH sudah di ketahui umum. Pergolakan yang berlaku di dalam gabungan parti itu membuatkan rakyat mula muak. Itu belum lagi di kira pusingan U dalam banyak polisi dan janji yang di sapu di bawah tikar.

"Contoh jelas hari ini, belum lagi mesyuarat Majlis Presiden PH, PKR awal lagi telah sebut akan bertanding di Rantau dan umum kerusi Rantau sememangnya milik PKR. Bila Bersatu mahu lebarkan sayap ke Sabah, di suruh pula berbincang dan dibawa dahulu ke mesyuarat Majlis Presiden PH," katanya.

Jelasnya lagi, amalan ingkar terhadap Dr Mahathir sebenarnya berlaku dalam kerajaan PH.

"Itu belum lagi kisah PKR yang bersilat di belakang tabir berusaha merebut jawatan Menteri Besar Kedah daripada Bersatu, bukankah itu mencabar Dr Mahathir?

"Sebenarnya kerajaan PH luaran nampak cantik tetapi hakikatnya sedang retak menunggu belah," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia