Singgah Sinar 1-Meter taja anggota Maritim juadah berbuka puasa

Hashim Anang (kiri), Syed Islam Shah Ajam (dua dari kiri) dan Nur Faezah (dua dari kanan) bersama anggota APMM di Stesen Udara APMM Subang.
Hashim Anang (kiri), Syed Islam Shah Ajam (dua dari kiri) dan Nur Faezah (dua dari kanan) bersama anggota APMM di Stesen Udara APMM Subang.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Pemborong GM Klang mengagihkan pek juadah berbuka puasa kepada anggota barisan hadapan di Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Subang di sini menerusi program Singgah Sinar 1-Meter.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat GM Klang, Nur Faezah Mohd Arsad yang menyertai program kolaboratif bersama Sinar Harian buat kali ketiga itu berkata, program tersebut antara usaha mendidik masyarakat supaya berterima kasih kepada anggota barisan hadapan selain mampu menjadi platform menyebarkan brand awareness syarikat tersebut.

“Saya melihat program ini satu langkah yang baik untuk merapatkan hubungan antara pihak kami dengan pihak lain dan memudahkan proses kolaborasi seterusnya pada masa depan.

“Mungkin kita tidak berada di barisan hadapan bersama anggota di sini tetapi kita dapat meluahkan penghargaan dan memberi bantuan kepada mereka,” katanya di sini pada Khamis.

Sebanyak 50 beg berisi makanan kering dan sampul duit raya daripada GM Klang serta pek juadah berbuka diagihkan kepada anggota barisan hadapan di Stesen Udara APMM Subang di sini.

Turut hadir, Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Syed Islam, Nur Faezah
Syed Islam, Nur Faezah

Dalam pada itu, Nur Faezah berkata, pihaknya akan terus menyertai program sebegini dengan melihat kerjasama dengan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, program tersebut bukan sahaja dilaksanakan sepanjang Ramadan malah ia akan dilaksanakan pada bulan lain juga supaya pihaknya dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Ketua Stesen Udara APMM Subang, Kolonel Syed Islam Shah Ajam menghargai kehadiran GM Klang dan Sinar Harian yang sudi menyantuni pihaknya untuk mengedarkan pek juadah berbuka puasa dan cenderamata kepada pasukannya di sini.

Katanya, penganjuran program sebegini sangat bermanfaat untuk pihaknya yang dianggap sebagai semangat kepada anggota di sini dalam mendepani pandemik Covid-19 demi rakyat.

Tambahnya, petugas barisan hadapan memerlukan ketahanan fizikal dan mental untuk melaksanakan tugas di udara, terutama ketika Ramadan.

“Juruterbang memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi untuk berada di udara tetapi kita akan terus berusaha dengan lebih profesional kerana pihak kami sentiasa diperlukan ketika Ramadan untuk membuat tugasan.

“Selepas ini mungkin lebih banyak syarikat lain yang akan menyumbang kepada barisan hadapan bagi memberi semangat dan terlibat secara langsung dalam mengekang wabak Covid-19,” katanya.