KPDNHEP sita mainan tidak patuh standard

Antara mainan kanak-kanak yang disita KPDNHEP dalam serbuan di sebuah premis di Seri Kembangan pada Jumaat.
Antara mainan kanak-kanak yang disita KPDNHEP dalam serbuan di sebuah premis di Seri Kembangan pada Jumaat.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Sebanyak 78 unit mainan kanak-kanak dianggarkan bernilai RM4,832 yang dijual di sebuah pusat beli-belah di sini disita pada Jumaat kerana tidak mematuhi standard keselamatan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya mendapati mainan itu tidak mempunyai pelekat keselamatan pematuhan standard (MC) sekali gus gagal membuat deklarasi bahawa barang itu selamat.

"Susulan aduan orang awam, permainan kanak-kanak itu disita daripada seorang lelaki yang bertanggungjawab terhadap premis berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Muhamad Zikril berkata, tindakan itu mengikut Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Perakuan Pematuhan Dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan) 2010 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana menawarkan apa-apa barang atau perkhidmatan yang tidak mematuhi standard keselamatan yang ditentukan di bawah Seksyen 19.

"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Peraturan 4 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu pemilik produk perlu membuat deklarasi bahawa mainan itu mematuhi standard keselamatan dalam bentuk suatu perakuan pematuhan dikeluarkan mengikut cara ditentukan oleh pengawal," katanya.

Muhamad Zikril berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan mengenai kesalahan berkaitan boleh menghubungi pihaknya di talian 1-800-886-800 atau mesej menerusi WhatsApp ke 019-2794317.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi kami melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau hubungi talian 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir di mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: