Wanita warga emas simpan mercun, bunga api ditahan

PPM Wilayah 1 berjaya merampas pelbagai mercun dan bunga api dalam serbuan di sebuah premis di Sitiawan pada Rabu. - Foto ihsan PPM
PPM Wilayah 1 berjaya merampas pelbagai mercun dan bunga api dalam serbuan di sebuah premis di Sitiawan pada Rabu. - Foto ihsan PPM
A
A
A

LUMUT - Seorang wanita warga emas ditahan kerana menyimpan mercun dan bunga api bernilai RM60,000 dalam serbuan di sebuah premis di Simpang Dua, Kampung Koh, Sitiawan di sini pada Rabu.

Suspek berusia 60 tahun itu ditahan dalam serbuan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Kampung Acheh serta Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira jam 8.30 malam.

Komander PPM Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, risikan yang dijalankan mendapati premis yang terletak dalam ladang kelapa sawit itu dijadikan tempat simpanan sebelum dijual di pasaran tempatan.

"Hasil pemeriksaan menemui 97 kotak berisi mercun dan bunga api yang disimpan di dalam rumah tersebut.

"Kesemua mercun dan bunga api tersebut dipercayai tidak mempunyai permit serta lesen menyimpan dan tujuan untuk dijual di pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, suspek diserah kepada IPD Manjung untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menyimpan barang yang dilarang tanpa permit dan lesen menjual yang sah.

Pasukan Polis Marin akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap aktiviti ini secara berterusan dan orang awam diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan mercun tanpa permit dan penyimpanan mercun secara tidak sah," katanya.

Artikel Berkaitan: