Polis Terengganu tolak 161 permohonan

Di Terengganu, sebanyak 960 permohonan direkodkan untuk ke Pahang, 630 (Kelantan), dan 375 (Selangor) pada Khamis iaitu meningkat berbanding hari sebelumnya. Gambar kecil: Roslee
Di Terengganu, sebanyak 960 permohonan direkodkan untuk ke Pahang, 630 (Kelantan), dan 375 (Selangor) pada Khamis iaitu meningkat berbanding hari sebelumnya. Gambar kecil: Roslee
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 161 permohonan rentas negeri di Terengganu ditolak dalam tempoh tujuh hari bermula 30 April hingga 6 Mei 2021 atas pelbagai alasan tidak munasabah termasuk mengemukakan borang lama rentas negeri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, antara alasan yang sering digunakan ialah berkaitan urusan kerja dan perniagaan.

Roslee menegaskan, beliau telah mengarahkan supaya pemeriksaan lebih terperinci dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang mengemukakan alasan kukuh dibenarkan merentas negeri.

“Tidak dinafikan berlaku peningkatan permohonan rentas negeri ditambah pula sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini berjalan seperti biasa dan beberapa hari lagi kita akan menyambut musim perayaan.

“Dalam situasi ini, kita menerima alasan-alasan yang dilihat tidak munasabah melibatkan urusan perniagaan.

“Sehubungan itu, pemantauan lebih terperinci dilakukan bagi membolehkan hal melibatkan kecemasan, kematian dan mustahak sahaja yang akan dilepaskan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat. Roslee berkata, sebanyak 960 permohonan direkodkan untuk ke Pahang, 630 (Kelantan), 375 (Selangor), diikuti negeri-negeri lain diterima pada Khamis iaitu meningkat berbanding hari sebelumnya.

“Bagi tempoh semalam sahaja (Khamis), sebanyak 13 permohonan telah ditolak manakala sebanyak 2,805 permohonan diluluskan daripada seluruh daerah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga urusan merekodkan peratusan permohonan tertinggi iaitu pasangan jarak jauh (30 peratus), kecemasan atau sakit tenat ahli keluarga terdekat (25 peratus) dan kematian ahli keluarga terdekat (20 peratus).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sejumlah 10 peratus permohonan bagi rawatan diri sendiri, rawatan isteri atau anak dan ibu bapa (lima peratus), pembelajaran (empat peratus) dan masing-masing tiga peratus bagi urusan kerja dan syarikat atau ekonomi atas budi bicara ketua balai polis.

Mengulas lanjut, Roslee berkata, pihak polis tidak akan menutup permohonan rentas negeri walaupun berlaku peningkatan menjelang musim perayaan kerana hanya hal kecemasan dan kematian serta perkara mustahak yang akan diluluskan.