‘Jangan salah guna permohonan’

Tindakan tegas terhadap individu salah guna kebenaran rentas negeri

Abd Rahim
Abd Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lebih teliti menyemak permohonan individu melakukan perjalanan merentas negeri.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, pihaknya mendapati ada individu telah menyalahgunakan permohonan itu untuk merentas negeri.

“Kebiasaan alasan yang mereka guna ialah urusan kerja atau ahli keluarga sakit.

“Kita akan ambil tindakan kompaun apabila mendapati mereka menyalahgunakan permohonan itu,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Abd Rahim berkata, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap anggota polis yang didapati menyalahgunakan permohonan merentas negeri.

“Kita tidak akan berkompromi sama ada anggota polis atau ‘kluster kayangan’. Jika didapati bersalah mereka akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Menurutnya, polis hanya membuka kertas siasatan dan menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita menjalankan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas Abd Rahim, PDRM hanya akan mempertimbang enam alasan daripada pemohon sebelum membenarkan mereka melakukan perjalanan merentas negeri.

“Ia membabitkan tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang mendapat kelulusan untuk merentas negeri hanya dibenarkan melakukan perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis.

“Langkah mengetatkan syarat permohonan itu adalah susulan peningkatan kes baharu positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, permohonan dibuat untuk pergerakan pada hujung minggu tidak akan diluluskan.

“Hanya sebab kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh dibenarkan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad.

“Permohonan pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis atau jamuan dilarang,” katanya.

Abd Rahim berkata lagi, pihaknya juga akan menjalankan pemeriksaan rumah ke rumah seperti tahun lalu sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri ini bagi memastikan tiada aktiviti rentas negeri tanpa kebenaran.

“Strategi itu akan digunakan memandangkan larangan rentas negeri telah berkuat kuasa,” kata beliau.