Jangka makin ramai mohon menjelang Aidilfitri

Khemah disediakan di IPD Klang Selatan di sini sementara orang ramai menunggu giliran mereka untuk berjumpa pegawai polis bagi mendapatkan surat kebenaran merentas daerah dan negeri.
Khemah disediakan di IPD Klang Selatan di sini sementara orang ramai menunggu giliran mereka untuk berjumpa pegawai polis bagi mendapatkan surat kebenaran merentas daerah dan negeri.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor mengesahkan menerima peningkatan jumlah permohonan rentas negeri daripada orang awam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mengarahkan anggota memperketat kelulusan setiap permohonan rentas negeri.

“Kebanyakan mereka (pemohon) menggunakan alasan dibenarkan seperti suami isteri jarak jauh, kesihatan dan beberapa lagi,” katanya pada Jumaat.

Di JOHOR BAHRU, polis menjangkakan peningkatan jumlah permohonan rentas negeri menjelang sambutan Aidilfitri, khususnya melibatkan daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi yang diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat hingga 20 Mei depan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, buat masa ini tiada peningkatan ketara bagi permohonan rentas negeri di Johor sehingga Khamis, namun ia dijangka meningkat.

Di SEREMBAN, pihak polis secara purata menerima kira-kira 2,500 permohonan setiap hari daripada orang ramai untuk merentas negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini kecuali daerah Seremban yang berstatus Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, bagaimanapun sejumlah 10 peratus permohonan biasanya ditolak kerana gagal memberikan alasan munasabah.

Di IPOH, polis Perak menerima kira-kira 3,000 permohonan merentas negeri setiap hari dalam tempoh PKPP.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, bagaimanapun tidak semua permohonan itu diberikan kebenaran kerana setiap hari dianggarkan 70 hingga 100 permohonan ditolak.