X

Kindly register in order to view this article
!

Cerita sebenar Black Hawk Down

Keadaan rumah penduduk yang musnah di Mogadishu. Gambar kecil: Kamaruddin
A
A

JERIH-perih menyertai misi menyelamat sepanjang perkhidmatannya sebagai tentera masih segar dalam ingatan veteran tentera, Staf Sarjan (B) Kamaruddin Zainal, 64.

Beliau malah tidak pernah melupakan detik misi menyelamatkan 70 anggota elit Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993.

Menurutnya, walaupun peristiwa itu telah lama berlalu dan mungkin sudah dilupakan oleh rakyat negara ini, namun saat tersebut masih segar dalam ingatan Kamaruddin.

Memulakan cerita, kata bekas tentera itu, insiden tersebut merupakan serangan hendap militia terhadap kenderaan perisai pengangkut infantri (APC) RPZ Condor milik Angkatan Tentera Malaysia semasa misi menyelamat.

“Kami dihujani peluru, mortar dan roket pelancar grenad daripada puak militia tanpa henti lebih lima jam ketika misi menyelamatkan askar Amerika.

“Saya menyaksikan pertempuran sengit membabitkan tentera Amerika dan Malaysia dengan militia yang menyokong Jeneral Mohamed Farrah Aidid,” katanya ketika kunjungan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia Selangor, Faridah Mat Hussain di Sungai Buloh baru-baru ini.

Kamaruddin berkata, Batalion Ke-19 Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis telah diamanahkan untuk berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Operasi UNOSOM II di Somalia sebagai kumpulan utama Malbatt 1 mulai 18 Jun 1993 hingga 11 Januari 1994.

“Pasukan itu ditempatkan di Mogadishu dan bertindak sebagai Pasukan Tindak Cepat atau QRF,” ceritanya yang berpangkat koperal di Kompeni A Batalion Ke-19 RAMD Mekanis ketika itu.

Kamaruddin bertugas sebagai operator untuk kenderaan APC.
Kamaruddin bertugas sebagai operator untuk kenderaan APC.

Berlapar demi tugas

Berkongsi suka-duka menyertai misi berkenaan, Kamaruddin berkata, pasukannya dimaklumkan akan menyertai satu misi kira-kira jam 6 petang (waktu Somalia) pada hari tragedi helikopter Black Hawk yang ditembak jatuh oleh militia.

“Kami segera menunaikan solat dan terus melengkapkan semua peralatan senjata termasuk topeng gas serta ‘gogel pandangan malam’, sebelum berkumpul di pekarangan kem dan masuk ke dalam APC,” katanya.

Menurutnya, beliau dan rakan-rakan terpaksa berlapar kerana tidak sempat menjamah makan malam sebelum pertempuran bermula.

“Hanya kek yang menjadi alas perut sebelum kami berdepan hujan peluru,” kenang beliau.

Kamaruddin berkata, pada awalnya beliau tidak tahu mengenai misi menyelamat tentera AS yang dikepung kumpulan pemberontak kerana arahan yang diterima sangat singkat.

Kamaruddin merakam detik kenangan bersama salah sebuah helikopter Black Hawk.
Kamaruddin merakam detik kenangan bersama salah sebuah helikopter Black Hawk.

“Tiada lain yang terlintas dalam fikiran saya, hanya berserah kepada takdir kerana saya merasakan misi berkenaan bukan sahaja sukar tapi amat berbahaya,” ujarnya.

Beliau berkata, seramai 114 askar Malaysia menaiki 40 buah kenderaan menuju ke ‘Old Port’ iaitu lokasi taklimat.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mereka mendapat arahan daripada komander tentera AS yang memaklumkan hanya memerlukan kenderaan dan kru (anggota) serta anggota tempur untuk membawa keluar renjer AS yang terperangkap.

Menurutnya, tentera AS meminta bantuan RAMD kerana mereka hanya mempunyai kenderaan ‘soft skin’ seperti humvee berbanding kereta perisai APC milik Malaysia.

“Pasar Bakara juga merupakan kubu kuat Mohamed Farrah dan agak sukar untuk memasuki kawasan itu tanpa kenderaan APC,” kata beliau.

Menurutnya, mereka kemudian diarah berpecah kepada dua kumpulan apabila menghampiri Pasar Bakara.

“Kami hanya berpandu dengan helikopter Apache dalam pergerakan ke lokasi kejadian pada malam itu,” katanya.

Kamaruddin berkata, beliau kemudian ternampak cahaya peluru pada jam 11.50 malam dari arah kiri ke kanan sebelum memaklumkan perkara itu kepada Ketua Kompeni A, Mejar (B) Aziz Abdul Latif.

“Beliau (Aziz) menyemak sistem kedudukan sejagat (GPS) dan memberitahu lokasi Pasar Bakara sejauh satu kilometer tetapi tiba-tiba kami telah diserang hendap oleh militia,” jelas beliau.

Menurutnya, taktik militia adalah menyorok dan menembak dari celah bangunan.

“Pada masa itu, kita tidak berupaya untuk membuat serangan balas kerana ia berisiko serta perlu mendedahkan kedudukan APC,” katanya.

Beginilah keadaan sebuah stadium di Mogadishu yang menempatkan askar yang cedera dalam insiden serangan hendap Black Hawk Dawn.
Beginilah keadaan sebuah stadium di Mogadishu yang menempatkan askar yang cedera dalam insiden serangan hendap Black Hawk Dawn.

Rakan maut, APC ditembak

Kamaruddin berkata, beliau yang bertugas sebagai operator terdengar pertanyaan radio daripada Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang yang memandu sebuah lagi kenderaan APC di hadapan pada jam 2 pagi.

“Beliau (Mat Aznan) bertanya mahu ke kiri atau kanan, tiba-tiba saya terdengar suara menyuruh berpatah balik sebelum jeritan ALLAH kerana kereta (APC) terkena tembakan,” katanya.

Dalam tragedi itu, kenderaan APC yang dipandu Mat Aznan ditembak dengan senjata antikereta kebal dari arah hadapan menembusi cermin kalis peluru sehingga mengenai bahunya. Mat Aznan maut manakala sembilan anggota tentera lain turut cedera.

Menurut Kamaruddin, berita kematian Mat Aznan tersebar pantas dalam kalangan anggota yang sedang bertempur.

“Kami telah diarahkan pergi ke lokasi kenderaan yang terkena tembakan itu serta mengambil kedudukan untuk membalas tembakan militia,” katanya.

Kamaruddin berkata, pasukan tentera Pakistan yang membawa kereta kebal turut serta dalam operasi itu telah ‘berundur’ dari medan perang meninggalkan RAMD dan tentera AS.

“Kami juga telah diarahkan menyelamatkan dan membawa keluar semua askar AS yang cedera serta terperangkap dalam kawasan perang itu.

“Kami berjaya keluar dari zon perang itu kira-kira jam 6 pagi. Askar yang cedera dibawa ke sebuah stadium berhampiran,” jelasnya.

Kenderaan APC yang musnah diserang militia.
Kenderaan APC yang musnah diserang militia.

Kamaruddin berkata, beliau telah mengangkat jenazah Mat Aznan setibanya di stadium itu yang berlumuran darah akibat terkena serpihan tembakan.

Tambah beliau, Mat Aznan seorang yang periang dan suka berjenaka. Sebelum operasi itu, rakannya itu sempat bergurau dengan menyimbah air kepada rakan-rakan lain.

Kamaruddin berkata, operasi itu dilaksanakan secara tiba-tiba dan serba kekurangan dari aspek perisikan musuh, namun beliau bangga misi itu berjaya.

“Bagi saya, tentera kita memang berani, semangat kami sentiasa membara kerana sudah dididik untuk meletakkan agama bangsa dan negara di tempat paling tinggi,” katanya.

Kamaruddin bertugas di Somalia selama enam bulan 10 hari sebelum pulang ke tanah air.

“Pertempuran di Pasar Bakara itu harus dijadikan iktibar dan dikongsi segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda dan generasi pelapis tentera,” katanya.

Kamaruddin mula menyertai ATM pada Januari 1980 kerana meminati tugas mencabar serta mahu menjadi individu ‘barisan hadapan’ menentang komunis.

Beliau pernah terlibat dalam beberapa pertempuran kecil dengan komunis semasa operasi di utara tanah air.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!