Macam-macam alasan rentas negeri

Orang ramai beratur di hadapan IPD Klang Selatan untuk mendapatkan surat kebenaran merentas daerah dan negeri pada Jumaat.
Orang ramai beratur di hadapan IPD Klang Selatan untuk mendapatkan surat kebenaran merentas daerah dan negeri pada Jumaat.
A
A
A

KLANG - Berbaki lima hari sebelum sambutan Aidilfitri pada 13 Mei ini, balai polis menjadi lokasi tumpuan masyarakat untuk memohon pelepasan merentas negeri atau daerah.

Pelbagai alasan diberikan orang ramai untuk merentas daerah dan negeri termasuklah ingin pulang ke kampung halaman kerana telah meninggalkan kediaman begitu lama kerana bekerja.

Bagaimanapun seperti yang diumumkan pihak berkuasa, hanya tiga situasi utama dibenarkan untuk membuat perjalanan rentas daerah dan negeri iaitu kecemasan membabitkan ahli keluarga terdekat, kematian dan pasangan berkahwin jarak jauh.

Tinjauan Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat mendapati, orang ramai berpusu-pusu mendapatkan kebenaran rentas daerah dan negeri walaupun daerah tersebut berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Memindahkan ibu ke hospital, mengambil anak di asrama dan kerja luar kawasan adalah antara alasan yang digunakan oleh orang ramai untuk mendapatkan surat kebenaran merentas negeri dan daerah daripada pihak polis.

Pekarangan luar balai polis mula dihadiri orang ramai sejak jam 6.30 pagi bagi mendapatkan surat kebenaran merentas daerah atau negeri daripada pihak berkuasa.

Zaiton Chein, 63, dari Taman Sri Andalas berkata, dia ingin mendapatkan kebenaran merentas daerah bagi memindahkan ibunya yang menghidap gangguan mental dari sebuah pusat jagaan di Ampang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi merawat di hospital tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan PKP menyukarkan proses rawatan ibunya yang sebelum ini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini kerana tidak boleh merentas daerah.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan itu, pusat jagaan tersebut mencadangkan Zaiton memindahkan ibunya ke HTAR bagi mendapatkan rawatan di HTAR.

“Pusat jagaan itu mencadangkan mak saya mendapatkan rawatan di sana, jadi saya perlukan surat ini (kebenaran rentas daerah) untuk berbuat demikian.

“Bukan saya tak mahu jaga, tapi lebih baik jika dia mendapat rawatan dan penjagaan yang sebaiknya di hospital kerana saya tak boleh risikokan membawa dia pulang ke rumah disebabkan dia mungkin akan mengganggu keluarga di rumah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Abdul Jasri Mohd, 45, berkata, dia ingin mendapatkan surat kebenaran merentas negeri daripada pihak polis bagi mengambil anaknya yang belajar di SMK Simpang Beluru, Perak sempena cuti sekolah.