X

Kindly register in order to view this article
!

Media cabang keempat kerajaan

A
A

DALAM sebuah negara demokratik, penyertaan aktif masyarakat dalam sistem pemerintahan sering dianggap sebagai tunjang kepada amalan demokrasinya.

Selain aktif berpartisipasi, masyarakat yang benar-benar demokratik juga adalah masyarakat yang ‘celik maklumat’ dan mampu membuat pilihan politik terbaik daripada maklumat yang diperoleh.

Disebabkan itu, akses kepada maklumat bukan sahaja menjadi sebahagian daripada hak berpolitik warganegara, malah sudah menjadi prasyarat kepada demokrasi itu sendiri.

Di sinilah muncul peranan media. Media lazimnya memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi dan memperkasakan hak warganegara dengan memberi ruang untuk penglibatan awam berfungsi dengan baik.

Melalui media maklumat yang berkait dengan hal-hal pemerintahan boleh berlaku dengan kerap dan konsisten.

Hal ini akan meningkatkan ruang berpartisipasi rakyat sekali gus membuka partisipasi bentuk baharu dalam mendukung amalan demokrasi yang sempurna.

Sebab itu bagi negara yang kurang demokratik, peranan media yang sebegini kurang berlaku.

Media selalunya ditekan dan dikawal ketat oleh pemerintah sekali gus menghilangkan peranan penting mereka sebagai pemerhati (watchdog) dan pemantau awam bagi pihak rakyat.

Berbanding di negara yang tinggi amalan demokrasinya, media sering dianggap sebagai ‘cabang keempat kerajaan’ (the fourth estate) yang berfungsi sebagai pemantau yang kuat dan bersedia untuk melaporkan serta menegur sebarang kelompangan pemerintahan.

Walaupun kemunculan teknologi digital seperti internet dan jalur lebar sedikit menghakis peranan tradisi media, ia masih antara medium yang digemari dan dipercayai.

Ketika ini, fenomena ‘kewartawanan rakyat’ ataupun ‘pemberita jadian’ yang dipangkin oleh teknologi digital memungkinkan sesiapa sahaja untuk membentuk berita sendiri menerusi ruang maya.

Tetapi peranan media sebagai cabang keempat untuk menegur, memantau dan memerhatikan perjalanan kerajaan masih sukar untuk ditenggelamkan oleh medium tersebut.

Benar rakyat tidak lagi menjadi pengguna pasif dalam konteks media.

Ruang maya dan segala kelebihannya menjadikan rakyat lebih aktif sehingga mampu untuk menerbitkan media dan berita mereka yang tersendiri.

Hal inilah barangkali yang menjadikan media di ruang maya menjadi lebih demokratik dan terbuka.

Malah, ia sudah mampu untuk membentuk jaringan komunikasi yang bersifat transnasional dalam konteks pendemokrasian itu sendiri.

Gelombang revolusi ‘Arab Spring’ awal tahun 2010 yang digerakkan oleh media sosial dan menumbangkan pemerintahan diktator barangkali adalah manifestasi kepada kebangkitan media dalam menggerakkan pendemokrasian di Asia Barat yang sebelumnya dianggap mustahil untuk berlaku.

Sungguhpun begitu, peranan media sebagai watchdog – peranan terpentingnya dalam konteks demokrasi dan pendemokrasian – itulah yang masih sukar digugat oleh media bentuk lain.

Sebab itu asas andaian Kolumnis Politik terkenal akhbar The New York Times, William Safire yang mengangkat taraf dan peranan media sama sebaris dengan tiga cabang utama kerajaan; Eksekutif, Legislatif serta Perundangan yang sekali gus menerangkan maksud media sebagai cabang keempat dalam konteks itu menjadi sangat relevan.

Jelas peranan media sebagai pemerhati penting dalam membesarkan ruang ‘semak dan imbang’ kepada perjalanan kerajaan.

Sebab itu apabila ada media menegur mana-mana tindakan kerajaan secara terbuka, ia seharusnya dilihat dari perspektif demokrasi dan aspek bernegara yang lebih luas.

Fahamilah bahawa media adalah watchdog (pemerhati) rakyat, bukannya lap-dog (pengikut setia) sesiapa.

Media lazimnya memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi dan memperkasakan hak warganegara.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!