Kejohanan simulasi alternatif Terbuka Malaysia

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
A
A
A

PENANGGUHAN Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2021 tidak menjejaskan persiapan barisan pemain negara dalam mengharungi siri kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada Julai depan.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, pihaknya telah merancang mengadakan satu kejohanan simulasi bagi menggantikan Terbuka Malaysia yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 30 Mei depan.

“Kita akui kecewa dengan penangguhan Terbuka Malaysia, namun harus diingat BAM lebih mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pemain berikutan situasi semasa peningkatan kes Covid-19 tidak hanya dalam negara tetapi seluruh dunia.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann dalam masa terdekat untuk menganjurkan satu kejohanan bagi memastikan daya saing dalam kalangan pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Sememangnya saya akui pemain-pemain negara memerlukan satu kejohanan kompetitif supaya prestasi mereka berada pada tahap terbaik seperti mana yang kita lakukan tahun lalu dengan penganjuran kejohanan di peringkat dalaman yang berjaya mencapai matlamatnya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebagai rekod, BAM menganjurkan dua kejohanan simulasi tahun lalu - Kejohanan Jemputan BAM diikuti Kejohanan Piala Presiden sebagai pentas pemanas badan buat barisan pemain negara berikutan pembatalan beberapa kejohanan akibat pandemik Covid-19.

Pada Jumaat, BAM dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah membuat keputusan untuk menangguhkan Terbuka Malaysia 2021 selepas mengambilkira soal keselamatan peserta susulan pandemik Covid-19 yang kembali meningkat.

“Terbuka Malaysia adalah acara Super 750 dalam Jelajah Dunia BWF dan dijadualkan sebagai kejohanan kelayakan bagi Sukan Olimpik.

Artikel Berkaitan:

"BWF boleh mengesahkan yang kejohanan yang bakal dijadualkan semula ini tidak akan berada dalam jendela kelayakan Olimpik

“Tarikh kejohanan baharu akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat,” kata BWF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.