Pakistan sukar larang perhimpunan keagamaan

Ribuan orang menghadiri solat Jumaat di Peshawar, Pakistan pada Jumaat.
Ribuan orang menghadiri solat Jumaat di Peshawar, Pakistan pada Jumaat.
A
A
A

SEKOLAH-sekolah dan restoran sudah ditutup, bidai-bidai kedai diturunkan pada awal petang setiap hari dan pihak tentera telah digerakkan untuk memerangi penularan pandemik Covid-19 tetapi selepas malam menjelma, ramai penduduk pergi ke masjid untuk menunaikan solat di Pakistan.

Bimbang tentang virus pandemik itu yang 'mengganas' di negara jiran, India, pihak kerajaan Pakistan telah mengharamkan perjalanan dilakukan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menandakan hampir tamatnya bulan Ramadan.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai kerajaan Pakistan seperti menutup mata terhadap perhimpunan keagamaan kerana bimbang jika satu tindakan bagi menghalang perhimpunan tersebut daripada diambil, ia akan mencetuskan satu konfrontasi di negara republik Islam yang konservatif itu.

"Terdapat terlalu banyak kebimbangan bahawa tindak balas akan dilakukan oleh kumpulan-kumpulan agama. Ini ialah sebuah kerajaan yang lemah," kata Saeedullah Shah yang merupakan seorang doktor dengan pasukan petugas Covid-19 Persatuan Perubatan Islam Pakistan kepada AFP.

Pakistan telah merekodkan lebih 840,000 kes dan lebih 18,500 kematian tetapi dengan ujian Covid-19 dilakukan secara terhad dan kemudahan kesihatan yang uzur, ramai yang bimbang bahawa situasi sebenar pandemik itu adalah lebih buruk di negara tersebut.

Wad-wad Covid-19 di beberapa buah bandar dipenuhi dengan para pesakit atau sudah hampir dengan kapasiti penuh selama berminggu-minggu ketika terdapat varian yang lebih berbahaya sekali gus menyebabkan lonjakkan kes pandemik tersebut di dunia.

Malah, walaupun kerajaan meminta orang awam mematuhi prosedur operasi standard ketika garis panduan tentang virus tersebut menjadi popular di Pakistan, masjid diumpamakan sebagai sebuah negara lain.

Maulana Muhammad Iqbal yang mengawasi Masjid Jamia yang bersejarah di Rawalpindi berkata, perasaan takut terhadap Covid-19 masih lagi kecil dan beliau enggan membandingkan kes pandemik itu di Pakistan dengan apa yang berlaku di India.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (sebahagian besar penduduk India) bukan penganut agama (Islam) dan kami ialah Muslim," tambahnya kepada AFP.

Sentimen itu terdapat dalam semua peringkat masyarakat di negara itu dengan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata pada Khamis lalu bahawa: "ALLAH bersifat murah hati dengan kita."

Namun, beliau berkata: "Penting buat kita dalam tempoh dua minggu lagi, kita perlu memastikan kes korona (Covid-19) turun."

Orang ramai membanjiri pasar pagi di Pakistan selepas kerajaan masih belum menguatkuasakan perintah berkurung di sebalik peningkatan kes Covid-19 di negara itu.
Orang ramai membanjiri pasar pagi di Pakistan selepas kerajaan masih belum menguatkuasakan perintah berkurung di sebalik peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Pada awal minggu ini, sebahagian penduduk Muslim bermazhab Syiah berhimpun di seluruh negara bagi meraikan ulang tahun kematian Imam Ali iaitu sepupu Nabi Muhammad SAW yang meninggal dunia dalam keadaan syahid.

Di ibu negara Pakistan, Islamabad, satu perhimpunan mazhab itu diadakan dengan pelitup muka dialihkan daripada muka manakala para peserta perhimpunan tersebut memakai pakaian hitam serta menyanyikan lagu-lagu selain memukul dada mereka di hadapan sekumpulan orang ramai.

Ribuan lagi berhimpun di bandar Lahore, timur Pakistan dengan sebahagian daripada mereka memukul belakang badan mereka.

Pakar-pakar di India menyatakan perhimpunan keagamaan merupakan penyumbang utama kepada penularan Covid-19 yang kini menyebabkan pandemik tersebut bertambah buruk di seluruh dunia.

Namun, kenyataan itu tidak mengubah kelakuan penduduk di Pakistan.

Ashfaq Ahmed yang baru-baru ini kembali ke Pakistan dari Britain berkata, dia terkejut apabila melihat ramai penduduk pergi ke masjid dan hanya mempunyai pengetahuan yang sedikit tentang langkah-langkah asas bagi menghalang penularan Covid-19.

"Ia kelihatan seperti orang ramai tidak dapat menerima hakikat (langkah-langkah menghalang penularan Covid-19)," kata Ahmed kepada AFP.

Walaupun terdapat bukti tersebut, seorang pegawai kerajaan Pakistan menegaskan bahawa garis panduan tentang langkah-langkah bagi menghalang penularan pandemik itu tetap diikuti di masjid-masjid.

"Jika terdapat satu tempat yang mana garis panduan Covid-19 telah diikuti, itu ialah di masjid-masjid," kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama Pakistan, Imran Siddiqui.

"Saya boleh membawa anda ke pasar dan kemudian ke masjid dan anda boleh melihat sendiri bahawa orang yang berada di dalam masjid adalah lebih baik dari segi mematuhi langkah-langkah keselamatan (kesihatan) diri," tambahnya.

Menurut satu tinjauan pendapat yang disiarkan oleh syarikat Gallup Pakistan dalam minggu ini, sebanyak 64 peratus penduduk percaya Covid-19 tidaklah berbahaya seperti yang dicanangkan sebelum ini. - AFP