Covid-19 makin memburuk, semua pihak diminta berhenti berpolitik

Armand Azha Abu Hanifah
Armand Azha Abu Hanifah
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak tidak kira parti digesa supaya berhenti daripada berpolitik bagi memberikan tumpuan kepada usaha untuk mengekang penularan Covid-19 yang semakin memburuk.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, semua pihak perlu lebih sedar terhadap ancaman pandemik Covid-19 dengan meletakkan keutamaan kepada negara dan juga rakyat.

“Saya mohon dan menyeru agar kita kurangkan masalah politik baik daripada Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Ini masanya kita letakkan keutamaan negara dan rakyat jauh di hadapan.

“Jangan kita terleka dan lalai sehingga negara kita musnah,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara pada Jumaat merekodkan kes harian tertinggi sejak Februari lalu iaitu 4,498 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 432,425.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 7 Mei 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mencatatkan kemasukan sebanyak 506 kes ke unit rawatan rapi (ICU) iaitu jumlah tertinggi sejak negara dilanda wabak Covid-19.

Dengan mengambil kira faktor musim perayaan dan liputan vaksinasi yang belum meluas, Dr Noor Hisham berkata, terdapat kemungkinan hospital di seluruh negara akan terus berdepan dengan peningkatan kes Covid-19 terutamanya pesakit dengan gejala serius melibatkan golongan rentan seperti warga emas dan kumpulan berisiko.

Artikel Berkaitan: