PKPD di dua lokaliti di Julau, Sarawak

Dua lokaliti di Julau, Sarawak dikenakan PKPD bermula Jumaat sehingga 20 Mei. (Gambar hiasan - Foto Bernama)
Dua lokaliti di Julau, Sarawak dikenakan PKPD bermula Jumaat sehingga 20 Mei. (Gambar hiasan - Foto Bernama)
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di dua lokaliti di Julau, yang terletak di dalam Bahagian Sarikei.

JPBN dalam kenyataan memaklumkan, dua lokaliti itu ialah Rumah Luyoh, Nanga Lango dan Rumah Unjan, Nanga Lungo, yang akan dikuatkuasakan PKPD bermula hari ini sehingga 20 Mei, susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di kawasan terbabit.

Setakat hari ini, sejumlah 46 kes yang masih aktif dalam rawatan dan pengawasan perubatan, serta 59 kes tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari di Julau.

Sementara itu, dua lokaliti iaitu Rumah Mut, Nanga Maong, Sungai Mujok di Julau dan Rumah Empeni anak Budom, Lubok Putan di Bintangor pula, akan dilanjutkan tempoh pelaksanaan PKPD masing-masing dari 10 hingga 16 Mei dan 10 hingga 23 Mei.

Menerusi kenyataan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak juga telah mengisytiharkan tiga lagi kluster baharu iaitu, Kluster Kampung Hilir Beladin di Pusa, Kluster Jalan Limbang di Miri, dan Kluster Penurin di Betong.

Jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 77 kluster, dengan 15 kluster telah merekodkan 134 penambahan kes baharu, manakala 62 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Hari ini juga menyaksikan kes kematian akibat jangkitan wabak Covid-19 di Sarawak, telah melebihi angka 200 apabila enam lagi kematian baharu dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan telah meningkat kepada seramai 201 orang.

Sarawak mencatatkan 750 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 517 kes atau 68.93 peratus daripada jumlah kes itu telah dikesan di daerah Miri, Selangau, Sibu, Sarikei, Bintulu, Pusa dan Kanowit, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 34,227 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: