Polis Pulau Pinang ketat kawalan di laluan tikus

Sahabudin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran IPD Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang pada Jumaat. - FOTO MOHD ISKANDAR OTHMAN
Sahabudin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran IPD Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang pada Jumaat. - FOTO MOHD ISKANDAR OTHMAN
A
A
A

PULAU PINANG - Polis akan mempertingkatkan kawalan di lima laluan tikus yang dikenal pasti di negeri ini menjelang Aidilfitri.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, kelima-lima laluan itu dikenal pasti di beberapa kawasan sempadan negeri ini.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebanyak 15 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di negeri ini, dan kita telah mengesan sebanyak lima laluan tikus yang mana merupakan jalan kecil terletak di sempadan negeri. Saya telah arahkan ketua polis daerah di kawasan terlibat supaya menjalankan sekatan di laluan berkenaan.

"SJR akan dijalankan secara mobile atau bergerak dan yang pastinya kita akan memperketatkan kawalan di laluan yang dikenal pasti sebagai laluan tikus itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa anjuran IPD Barat Daya, Balik Pulau, di sini pada Jumaat.

Sahabudin berkata, pihaknya juga akan lebih teliti dalam permohonan rentas negeri yang dibuat.

"Kita sememangnya teliti dalam permohonan yang dibuat, termasuk ketika pemeriksaan di SJR, pelbagai alasan yang diberikan kita mahukan bukti.

"Sekiranya salah guna kebenaran yang diberikan, tiada lagi amaran, kita akan terus kompaun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sahabudin berkata, dalam masa sama pihaknya turut bersedia sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri ini.

"Untuk PKPB ini, kita sememangnya mempunyai 108 kumpulan task force yang akan menjalankan pemantauan pematuhan PKPB di negeri ini.

"Untuk SJR pula kita mempunyai lebih 700 anggota yang bertugas dan untuk persediaan kita bersedia hampir 3,000 anggota untuk penugasan," katanya.