Tangan kanak-kanak 10 tahun tersepit mesin tebu

Keadaan tangan mangsa yang tersepit pada mesin pemerah tebu dalam kejadian di Taman Serkam Jaya, Merlimau pada Jumaat.
Keadaan tangan mangsa yang tersepit pada mesin pemerah tebu dalam kejadian di Taman Serkam Jaya, Merlimau pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terpaksa menahan kesakitan apabila tangannya tersepit dalam mesin pemerah tebu di Taman Serkam Jaya, Merlimau, di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 7.40 malam, tangan kanak-kanak lelaki itu dipercayai tersepit ketika pertama kali menolong keluarganya menggunakan mesin tebu terbabit untuk menjual air tebu di bazar Ramadan.

Penduduk, Hidayah Sharuddin, 27, berkata, dia yang berada di rumah, terkejut mendengar suara wanita menjerit sebelum bergegas keluar rumah dan melihat seorang kanak-kanak lelaki sedang menangis kesakitan.

Menurutnya, kejadian itu berlaku selepas berbuka dan keadaan di kawasan itu juga agak gelap.

"Saya terus ke arah ibu mangsa, yang sedang memeluk mangsa dan melihat tangan kanak-kanak itu berada dalam mesin sebelum menghubungi talian kecemasan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi.

Tangan mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Merlimau yang diketuai Penguasa Bomba Kanan (PBK) II Sofian Hasan sebelum operasi tamat jam 8.12 malam.

Mangsa dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dengan menaiki ambulans.

Artikel Berkaitan: