Shahrul, de Paula mahu tinggalkan Perak FC

Shahrul (tengah) dan de Paula (kanan) antara pemain yang dilapor mahu meninggalkan Perak FC. - Foto FB Perak FC
Shahrul (tengah) dan de Paula (kanan) antara pemain yang dilapor mahu meninggalkan Perak FC. - Foto FB Perak FC
A
A
A

PERAK FC mengesahkan dua tonggak utama mereka - Shahrul Saad yang juga kapten The Bos Gaurus dan penyerang naturalisasi, Guilerme de Paula mahu meninggalkan kelab itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali berkata, pihaknya sudah pun menerima surat daripada kedua-dua pemain berkenaan yang menyatakan hasrat mereka untuk meninggalkan Perak FC.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini belum ada sebarang permohonan rasmi diterima pengurusan Perak FC daripada mana-mana kelab untuk mendapatkan khidmat kedua-dua pemain terbabit.

"Memang kita sudah menerima surat permohonan rasmi daripada kedua-dua pemain ini yang mahu meninggalkan pasukan cuma setakat ini tiada tawaran rasmi diterima daripada mana-mana pasukan.

"Setakat ini kita cuma terima panggilan daripada Selangor FC yang bertanyakan mengenai Shahrul namun tiada sebarang tawaran rasmi dikemukakan. Selain dari itu memang tak ada," katanya kepada pemberita di Pejabat Perak FC di Ipoh pada Jumaat.

Rizal berkata, pihaknya akan bertemu dengan Shahrul dan de Paula serta ejen mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan yang dibuat itu.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mengatakan Shahrul yang juga tonggak Harimau Malaya sudah dipancing Sri Pahang FC setelah jendela perpindahan pemain kembali dibuka pada 3 Mei lalu.

Namun, pengurusan Sri Pahang FC menafikan khabar angin sudah merekrut Shahrul dalam memperkuatkan cabaran skuad kendalian Dollah Salleh itu bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Rizal menafikan berita kononnya Perak FC berdepan masalah tunggakan gaji pemain melebihi tiga bulan sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

Malah, beliau memaklumkan pihak pengurusan Perak akan melunaskan bayaran gaji pemain untuk bulan Mac 2021 sebelum Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 13 Mei ini.