Kelonggaran aktiviti sukan, rekreasi dalam kawasan PKP

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

MESYUARAT Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jumaat mempertimbangkan rayuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melihat semula keputusan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 7 hingga 20 Mei ini.

Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal seperti joging, berbasikal serta senaman dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter dan dilakukan di kawasan kejiranan atau terhad di mana-mana kawasan dalam daerah yang sama tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa; kini boleh dijalankan mulai 8 Mei.

Bagaimanapun, kelonggaran-kelonggaran lain bagi sektor sukan dan rekreasi akan diperhalusi dalam Mesyuarat Teknikal MKN seterusnya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan rasa terima kasih kepada ahli Sidang Khas MKN khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan KBS.

Beliau turut menyeru para peminat dan penggiat sukan untuk terus melaksanakan aktiviti kecergasan dengan selamat sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita masih lagi belum menang dalam melawan penularan Covid-19. Justeru, semua pihak hendaklah memainkan peranan yang lebih berkesan agar pelaksanaan PKP pada kali ini benar-benar mencapai matlamat yang dihasratkan,” katanya.

Pada Khamis, Sidang Khas MKN memutuskan untuk menggantung sementara sektor serta aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat.

KBS dalam satu kenyataan pula memaklumkan penggantungan itu termasuk semua aktiviti sukan dan rekreasi di premis atau kemudahan komersial, kemudahan awam dan kawasan terbuka.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, KBS memaklumkan operasi yang dibenarkan adalah membabitkan kemudahan atau premis sukan dan rekreasi yang terhad bagi urusan pengurusan dan penyelenggaraan sahaja; program latihan berpusat secara kuarantin Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis-Majlis Sukan Negeri menggunakan konsep Camp Based Training.

Selain itu, turut dibenarkan adalah program latihan berpusat secara kuarantin pasukan Liga Malaysia (Liga-M) sementara penganjuran kejohanan dan perlawanan persahabatan mengikut model Gelembung Sukan terhad bagi saingan Liga-M tanpa kehadiran penonton.

Pada masa sama, penyertaan atlet dan pegawai tempatan ke kejohanan antarabangsa dengan sokongan KBS dan kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga dibenarkan.