Kanak-kanak 10 tahun maut dilanggar lori balak

Seorang kanak-kanak maut dilanggar lori balak di Kilometer 1, Jalan Bentong - Karak pada Jumaat.
Seorang kanak-kanak maut dilanggar lori balak di Kilometer 1, Jalan Bentong - Karak pada Jumaat.
A
A
A

BENTONG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut dilanggar lori balak selepas motosikal dibonceng bersama ibunya terjatuh akibat terlanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 1, Jalan Bentong - Karak, di sini pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 1.30 petang itu, ibu mangsa berusia 28 tahun tidak mengalami kecederaan.

Turut terselamat, pemandu lori balak dan MPV yang juga terlibat dalam nahas itu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Benus dari arah bandar Bentong.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian motosikal dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar belakang MPV yang berada di hadapannya.

"Akibat kejadian, mangsa tercampak jatuh ke atas jalan.

"Sebuah lori balak yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu terlanggar mangsa," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Zaiham berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.