X

Kindly register in order to view this article
!

Sabah FC dituntut fokus berdepan KDA FC

Kurniawan ingatkan pemain Sabah FC tidak leka dengan dua kemenangan ke atas Perak FC dan Melaka United di Stadium Likas baru-baru ini. - Foto Sabah Football Club
A
A

SABAH FC diingatkan tidak leka dengan dua kemenangan berturut-turut ketika menentang Perak FC dan Melaka United di Stadium Likas baru-baru ini, sebaliknya kekal fokus bagi mengharungi aksi Liga Super.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, anak-anak buahnya perlu positif serta terus fokus bagi menghadapi perlawanan penting menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC, sekali gus mencipta sejarah di hadapan penonton sendiri pada Sabtu.

“Jangan menoleh ke belakang lagi, dalam erti kata lain tidak boleh terlampau larut dengan kemenangan. Kita harus fokus, saya selalu berpesan bahawa setiap permainan adalah perlawanan akhir.

“Mahu tidak mahu kita kena kerja keras serta fokus untuk dapat memaksimakan tiga mata dalam perlawanan di tempat sendiri menentang Kedah malam esok (Sabtu),” katanya kepada pemberita menerusi aplikasi Whatsapp pada Jumaat.

Terdahulu, Sabah FC menewaskan Perak FC dengan 2-1 dan Melaka United 3-1 - kedua-duanya di Stadium Likas dan skuad The Rhinos itu kini menduduki tempat ketujuh liga dengan 16 mata.

Kurniawan berkata, KDA FC bukan pasukan biasa kerana mereka merupakan pasukan yang mempunyai mutu permainan yang tinggi selain memiliki barisan pemain hebat.

“Jadi kita tidak boleh membuat kesilapan, yang akhirnya membahayakan untuk pasukan sendiri dan pemain harus kerja keras,” katanya.

Kurniawan memberitahu, setakat ini semua pemainnya berada dalam kondisi bersiap sedia untuk diturunkan dan sehingga kini senarai kesebelasan utama belum dapat dimuktamadkan.

“Hanya ada tiga pemain yang saat ini masih belum bisa bergabung dengan pasukan iaitu N.Thanabalan, Ariusdius (Jais) dan Hamran (Peter) kerana masih direhatkan, mereka masih belum dapat beraksi dalam perlawanan esok menentang Kedah FC,” ujarnya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!