Dua termasuk kanak-kanak maut dalam nahas di LPT1

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 137.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur pada Jumaat. - Foto JBPM Pahang
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 137.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur pada Jumaat. - Foto JBPM Pahang
A
A
A

TEMERLOH - Dua termasuk seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 137.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, di sini pada Jumaat.

Tiga lagi penumpang kereta jenis Perodua Viva termasuk seorang bayi dilaporkan cedera.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 1.37 petang.

Menurutnya, susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin dibantu anggota dari BBP Temerloh ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 137.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur pada Jumaat.- Foto JBPM Pahang
Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Viva dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 137.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur pada Jumaat.- Foto JBPM Pahang

"Sebaik tiba di lokasi mendapati seorang lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki tersepit dalam kereta terbabit.

"Seorang wanita, kanak-kanak perempuan dan seorang bayi yang turut menaiki kereta itu berjaya dikeluarkan lebih awal dengan bantuan orang awam," katanya.

Anuar berkata, pihaknya menggerakkan bantuan mengeluarkan mangsa yang tersepit namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.