30 peralatan, kemudahan perubatan bernilai RM496,500 buat HTAA

Ruslan (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Dr Sarifuddin (dua dari kanan) pada majlis Penyerahan Peralatan Hospital (Aset Alih Wakaf) kepada HTAA sempena Bulan Wakaf Kebangsaan di Kuantan pada Jumaat. - Foto Bernama
Ruslan (dua dari kiri) menyerahkan replika cek kepada Dr Sarifuddin (dua dari kanan) pada majlis Penyerahan Peralatan Hospital (Aset Alih Wakaf) kepada HTAA sempena Bulan Wakaf Kebangsaan di Kuantan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Yayasan Waqaf Malaysia hari ini menyumbangkan 30 peralatan dan kemudahan perubatan bernilai RM496,500, bagi kegunaan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Ruslan Said berkata, peralatan merangkumi lima unit Intensive Treatment Unit (ICU) Bed, ICU Monitor (lima unit), Syringe Pump (15 unit) dan Infusion Pump (lima unit) itu, diharap dapat melancarkan tugas kakitangan kesihatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19.

“Sumbangan kepada HTAA adalah yang ketiga daripada pihak yayasan kepada hospital yang menjadi rujukan kes Covid-19 dengan pemilihan hospital ditentukan oleh Kementerian Kesihatan.

“Penyerahan ini juga merupakan simbolik bahawa wakaf yang masyarakat salurkan itu telahpun disampaikan kepada pihak yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Peralatan Hospital (Aset Alih Wakaf) kepada HTAA, yang diwakili Timbalan Pengarah Perubatan 2 Dr Sarifuddin Saad, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sumbangan seumpama itu telah diberikan kepada dua pusat perubatan di Selangor iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Sungai Buloh.

Tambah Ruslan, inisiatif itu juga diharap menjadi titik permulaan bagi semua lapisan masyarakat untuk turut sama mengimarahkan amalan berwakaf, sama ada melalui Yayasan Waqaf Malaysia atau Majlis Agama Islam Negeri.

“Sumbangan ini menjadi bukti bahawa institusi wakaf memainkan peranan penting membantu mana-mana pihak, dalam menyelesaikan masalah ummah bertepatan dengan Maqasid Syariah,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Sarifuddin berkata, pihaknya menghargai sumbangan berkenaan dan berharap lebih ramai pihak atau pertubuhan bukan kerajaan tampil mengambil inisiatif sama dalam usaha menangani pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: