MOT lanjut tempoh sah lesen pengendali kenderaan

Kenyataan akhbar oleh Ka Siong pada Jumaat.
Kenyataan akhbar oleh Ka Siong pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memutuskan untuk melanjutkan tempoh sah lesen pengendali kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan perdagangan kepada sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perubahan dasar tersebut yang dilakukan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diputuskan setelah mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh pemain industri pengangkutan ekoran daripada penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh kesemua pengendali berlesen kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan perdagangan bagi membolehkan mereka mendapatkan kelulusan lesen terbaharu itu.

“Antara syarat yang ditetapkan bagi aspek piawaian keselamatan adalah seperti syarikat telah menghadiri latihan Audit Kod Amalan Keselamatan Industri (ICOP) dan setiap kenderaan adalah berdaftar dengan APAD serta telah dilengkapi dengan alat navigasi GPS.

“Syarikat juga perlu memastikan tiada sebarang rekod saman Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan yang aktif bagi semua kenderaan syarikat.

“Dari segi kewangan pula, syarikat perlu mengemukakan laporan audit tahunan terkini dan memperoleh pendapatan melebihi 80 peratus daripada anggaran tahunan (bagi kenderaan barangan sahaja),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Untuk syarikat yang mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Ka Siong berkata, syarikat terbabit mesti mengekalkan modal berbayar yang telah ditetapkan manakala perniagaan syarikat perlulah berkaitan dengan pengangkutan.

Dari segi syarat pelesenan pula, menurutnya, syarikat perlu mempunyai permit aktif dengan kenderaan, maklumat ahli lembaga pengarah dan pemegang ekuiti yang dikemas kini serta pemilikan ekuiti yang tiada perubahan ekuiti Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

Artikel Berkaitan:

“Semua pemohon hendaklah memenuhi kesemua syarat yang ditetapkan dan memastikan semua dokumen yang diperlukan adalah lengkap.

“Sekiranya syarat-syarat di atas tidak dipenuhi, kelulusan bagi tempoh sah laku lesen pengendali hanya akan diberikan untuk tempoh tiga tahun sahaja berbanding dengan kelulusan sebelum ini di mana tempoh sah laku lesen pengendali hanya diberikan dengan tempoh minimum selama satu tahun sahaja,” ujarnya.

Ka Siong turut memaklumkan bahawa tempoh sah laku lesen pengendali yang diluluskan juga adalah tertakluk kepada beberapa syarat antaranya, tidak melebihi had usia kenderaan dan tempoh sah laku lesen Pengendalian Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) sekiranya berkaitan.

Selain itu, beliau berkata, tempoh sah laku lesen pengendali yang diluluskan juga tertakluk kepada syarat yang menetapkan tidak melebihi tarikh sah laku lesen pengendali bagi proses memperbaharui permit kenderaan.

“Sememangnya penetapan kriteria ini bertujuan untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan, tahap kualiti perkhidmatan yang tertinggi dan memastikan imej industri ini terjamin.

“Semoga perubahan dasar ini dapat memberi kelegaan dan manfaat kepada para pemain industri. MOT akan terus mendengar dan mendapatkan pandangan serta cadangan daripada pemain industri bagi menambah baik polisi berkaitan dari masa ke masa untuk kebaikan bersama,” jelasnya.